KOTA KINABALU – Fasa rundingan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan kesihatan melalui lima jawatankuasa kecil berjalan lancar, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Sabah kini memberi tumpuan kepada fasa pelaksanaan.
Sebagai komitmen memperkasa infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan di Sabah, beberapa ketetapan utama telah diluluskan, termasuk peruntukan RM1.57 bilion menerusi Rolling Plan 1, RMK-13 (2026) bagi melaksanakan 53 projek, terdiri daripada 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu.
Antara projek utama ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta bagi menyediakan perkhidmatan kardiologi termaju kepada rakyat negeri itu.
Turut diluluskan ialah pembinaan Klinik Kesihatan Sapulut, Nabawan bernilai RM81.95 juta, termasuk kemudahan kuarters bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Dari aspek sumber manusia pula, sebanyak 607 jawatan baharu telah diwujudkan setakat 1 Ogos 2026, melibatkan 355 jawatan Pengurusan dan Profesional, termasuk pakar serta pegawai perubatan, dan 252 jawatan Pelaksana.
KKM turut menyasarkan peningkatan peruntukan kesihatan tahunan sebanyak lima peratus, dengan unjuran peruntukan mencecah RM4 bilion menjelang 2030.
KKM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas keterbukaan dan kerjasama sepanjang proses rundingan, selain menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan tuntutan MA63 berkaitan kesihatan berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat Sabah.