Aktivis MANDIRI ditahan polis, disiasat di bawah AMLA

Aktivis MANDIRI ditahan polis, disiasat di bawah AMLA

KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – Aktivis MANDIRI, Amir Hadi dan Dobby Chew, ditahan polis hari ini dalam siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLA, selepas memberi kerjasama hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Menara KPJ.

MANDIRI merupakan antara kumpulan yang lantang menyuarakan isu tadbir urus dan rasuah, termasuk susulan laporan Bloomberg mengenai dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang dikaitkan dengan SPRM dan ahli perniagaan di Malaysia.

Terdahulu, kedua aktivis tersebut turut berdepan pembekuan akaun bank peribadi dan organisasi bahkan turut disenarai hitam daripada keluar negara.

Penahanan itu menambah satu lagi episod dalam rentetan tekanan terhadap MANDIRI sejak awal tahun ini. Pada April, beberapa aktivis MANDIRI ditahan ketika bantahan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki. Susulan daripada itu, 2 aktivisnya ditahan polis dan akaun X rasmi organisasi berkenaan turut digantung.

Pada Mei, MANDIRI pula terlibat dalam pertikaian terbuka dengan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berhubung dakwaan penerimaan dana asing. MANDIRI menafikan dakwaan tersebut dan kemudiannya mengambil tindakan undang-undang terhadap Kamil.

Pada September, Amir dan Dobby dikenakan sekatan perjalanan sebelum akaun bank peribadi mereka serta akaun MANDIRI dan HAYAT dibekukan. Pada 18 September, lebih 20 anggota polis turut hadir di pejabat bersama kedua-dua organisasi dan mengambil pelbagai dokumen kewangan, audit, cukai serta rekod kakitangan.

Dalam perkembangan terbaru, Amir dan Dobby sebelum ini mempersoalkan asas siasatan selepas mendakwa pihak berkuasa hanya merujuk kepada “dana mencurigakan” tanpa menjelaskan kesalahan khusus yang sedang disiasat.

Sementara itu, MANDIRI menyeru orang ramai hadir memberikan solidariti di hadapan IPD atau Lokap Jinjang pada jam 8 malam ini menerusi kempen #HentiBungkamNGO, #BebasAmir dan #BebasDobby.

“Semakin ditekan, semakin melawan,” menjadi slogan yang digunakan MANDIRI susulan perkembangan tersebut.

#TawauKini