TAWAU: Kegembiraan sekumpulan 13 rakan mandi-manda di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai, bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai yang tiba-tiba menjadi deras, pagi Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, 7 September 2026, ketika mangsa bersama enam rakannya sedang mandi-manda di kawasan sungai berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Wilnylton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Tagal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama 12 rakannya pergi ke lokasi berkenaan untuk mandi-manda.

“Ketika berada di lokasi, mangsa bersama enam orang rakannya sedang mandi-manda di kawasan sungai, manakala rakan-rakan yang lain berada di kawasan berdekatan untuk menyediakan makanan.
“Lebih kurang jam 9.30 pagi, arus sungai secara tiba-tiba menjadi deras ketika mangsa bersama enam orang rakannya sedang mandi-manda,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September.
Beliau berkata, enam rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan sampai ke tebing sungai, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian sebelum tenggelam.
Rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga Sungai Tagal yang bertindak terjun dan menyelam ke dalam sungai bagi mencari mangsa.
Mangsa akhirnya berjaya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan.
“Setelah pemeriksaan dan rawatan dilakukan oleh doktor yang bertugas, mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan bedah siasat.
Hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda-tanda berunsur jenayah atau kesan yang mencurigakan pada tubuh badan mangsa.
Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai Mati Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Major Fredolen Biin di talian 019-8136953.
Polis Daerah Tawau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan sungai serta tidak mengambil risiko sekiranya mendapati keadaan arus deras atau berubah secara tiba-tiba.