PUTRAJAYA – Tawaran rasuah bernilai RM200,000 yang ditolak seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perlis antara kes berprofil tinggi yang diketengahkan dalam inisiatif pengiktirafan kepada penjawat awam yang tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
Kes berkenaan membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan. Selain itu, satu lagi kes yang turut diketengahkan melibatkan penolakan suapan bernilai RM45,000 di Johor.
Kedua-dua kes itu merupakan antara contoh yang disebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjelaskan pemberian ganjaran kepada penjawat awam yang tampil membantu usaha membanteras rasuah.
Secara keseluruhan, sebanyak RM1.18 juta ganjaran telah diberikan kepada 652 penjawat awam yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Sumber : SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan.
Katanya, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap integriti penjawat awam, malah diharap menjadi dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain untuk tampil melaporkan kegiatan rasuah.
PDRM catat penerima tertinggi
Berdasarkan rekod sepanjang tempoh 2012 hingga 2025, PDRM mencatatkan jumlah penerima pengiktirafan tertinggi dengan 437 orang.
Ia diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seramai 21 orang.
Bagi siri penilaian tahun 2026 pula, sebanyak 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan untuk penilaian.
Daripada jumlah itu, 38 calon adalah daripada PDRM, 12 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tiga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang daripada JIM.
Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan, dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
Semua calon yang dinilai turut melalui proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan yang ditetapkan.
Perlu buat aduan rasmi
Abd Halim berkata, penjawat awam yang dicalonkan untuk menerima pengiktirafan perlu membuat aduan rasmi berkaitan pemberian atau penerimaan rasuah.
Mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga proses perbicaraan kes di mahkamah selesai.
Beliau berkata, keberanian penjawat awam tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu membendung kegiatan berkenaan serta memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, beliau menyeru supaya inisiatif pemberian ganjaran tersebut diperluas bukan sahaja kepada agensi penguatkuasaan, malah melibatkan seluruh sektor perkhidmatan awam.
Katanya, pegawai yang bertugas di bahagian perolehan juga perlu digalakkan untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan cubaan rasuah.
Program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 itu dipengerusikan Abd Halim di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada 22 September.