Nama Tawau terpahat di pentas kebangsaan, SM Holy Trinity raih Anugerah Sekolah Lestari

Nama Tawau terpahat di pentas kebangsaan, SM Holy Trinity raih Anugerah Sekolah Lestari

TAWAU: Sekolah Menengah Holy Trinity Tawau melakar kejayaan membanggakan apabila muncul Johan Anugerah Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Sesi 2025/2026 bagi kategori Sekolah Menengah peringkat kebangsaan.

Kejayaan berkenaan diraih dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang berlangsung di Melaka, sekali gus mengangkat nama Tawau dan Sabah di pentas nasional dalam bidang kelestarian alam sekitar.

sekolah lestari

SM Holy Trinity diwakili dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Jesselyn Arsenal, 17, dan Muhammad Izzammudin bin Roslan, 17, dalam pertandingan berkenaan.

Turut menyertai rombongan sekolah ialah Pengetua SM Holy Trinity, Encik Jotiris bin Rumunzin, serta lima guru pengiring iaitu Cikgu Rosni, Cikgu Aisah, Cikgu Asmawati, Ustazah Najah dan Teacher Gloria.

Kejayaan itu turut mendapat ucapan tahniah daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang menyifatkan pencapaian sekolah berkenaan sebagai satu kejayaan membanggakan bagi Sabah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga SM Holy Trinity yang datang dari Tawau ke Melaka bagi menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan tersebut.

Anugerah berkenaan disampaikan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 21 September 2026 di Hatten Hotel, Banda Hilir, Melaka.

Majlis tersebut dirasmikan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Arthur.

sekolah lestari

Sambutan HASN 2026 membawa tema “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”, dengan Melaka menjadi tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan tahun ini.

Program tersebut turut diadakan serentak dengan Persidangan Kebangsaan Kelestarian Alam Sekitar 2026 selama dua hari yang menghimpunkan pemain industri serta teknologi hijau.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut melancarkan sistem pembayaran kompaun secara dalam talian menerusi kerjasama strategik i-Payment bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Kejayaan SM Holy Trinity sebagai Johan SLAAS peringkat kebangsaan bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat warga sekolah, malah mencerminkan penglibatan golongan muda dalam usaha memupuk budaya kelestarian dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Pencapaian Jesselyn dan Muhammad Izzammudin bersama warga pendidik sekolah itu juga menjadi satu lagi kebanggaan buat Tawau dan Sabah di pentas kebangsaan.