Hormati pengampunan Najib, tapi prinsip lawan rasuah tidak berubah

Hormati pengampunan Najib, tapi prinsip lawan rasuah tidak berubah

KUALA LUMPUR, 18 September 2026 – Keputusan berkaitan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk penerimaan, kekecewaan dan kemarahan.

Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata, rakyat berhak menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan berhubung keputusan berkenaan, namun pada masa sama fakta mengenai kedudukan perlembagaan perlu dihormati.

Menurutnya, kuasa pengampunan merupakan wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Wanita KEADILAN menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan.

“Jangan kerana perbezaan politik, kita mengaburkan kedudukan Perlembagaan atau menggambarkan keputusan ini seolah-olah keputusan YAB Perdana Menteri atau Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media.

Fadhlina berkata, kerajaan pada masa sama tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa menghormati keputusan pengampunan itu tidak bermakna pendirian KEADILAN terhadap rasuah dan salah guna kuasa berubah.

“KEADILAN lahir dengan keberanian melawan salah guna kuasa. Prinsip itu menuntut kita memastikan undang-undang terus berjalan tanpa mengira pangkat atau pengaruh seseorang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan berkaitan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang sebelum ini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International.

#TawauKini