KENINGAU, 18 Mac 2026 – Satu operasi bersepadu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Perhutanan Sabah berjaya merampas kayu balak, kenderaan dan jentera dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit, dalam serbuan di kawasan Sook, semalam.
Operasi yang dijalankan oleh Cawangan Risik dan Task Force Batalion 21 PGA Keningau itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.
Hasil pemeriksaan mendapati lokasi berkenaan dipercayai dijadikan tempat pengumpulan kayu balak yang tidak mematuhi peraturan, termasuk tiada nombor siri, tiada tanda Property Hammer Mark (PHM) serta tanda rasmi Jabatan Perhutanan.
Kes kini disiasat di bawah undang-undang perhutanan dan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti pembalakan haram serta memastikan kelestarian hutan terus terpelihara.







