TAWAU – Projek pembinaan Jambatan Ranggu Tiku baharu dijangka siap pada November 2027, sekali gus bakal menyediakan laluan kekal yang lebih baik bagi menghubungkan kawasan Ranggu, Tiku dan Apas.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata jambatan baharu itu akan dibina menggunakan struktur konkrit kekal serta menyediakan laluan dua hala.

Menurut beliau, jambatan sementara jenis ‘Bailey bridge’ kini dipindahkan ke bahagian tepi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jambatan baharu.
“Laluan sementara ini mula digunakan hari ini dan diharapkan dapat mengurangkan kesesakan yang dialami penduduk Tawau, khususnya sejak dua minggu lalu.
“Saya memohon maaf dan berharap penduduk dapat bersabar sementara usaha meningkatkan kelancaran lalu lintas di Tawau dilaksanakan,” katanya ketika meninjau perkembangan projek Jambatan Ranggu Tiku, di sini, hari ini.
Lo berkata, laluan Sin Onn Tiku-Ranggu yang menghubungkan kawasan berkenaan ke Apas semakin penting susulan pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat di sekitar Ranggu serta Tiku.
Katanya, laluan itu digunakan puluhan ribu pengguna setiap hari, manakala lebih 100,000 penduduk kini mendiami kawasan berkenaan.
“Dengan perkembangan pembangunan yang semakin meluas ke kawasan Ranggu dan Tiku, laluan ini akan memainkan peranan lebih penting pada masa depan.
“Kita berharap jambatan ini dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan, jika boleh, lebih awal supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk Tawau,” katanya.
Jambatan konkrit kekal ganti Bailey bridge
Projek berkenaan dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut Lo, jambatan baharu itu akan menggantikan struktur Bailey bridge yang bersifat sementara dan memerlukan penyelenggaraan dari semasa ke semasa.

“Jambatan baharu ini dibina dengan struktur konkrit dan akan menjadi laluan kekal, berbeza dengan Bailey bridge sedia ada yang menggunakan permukaan kayu dan memerlukan penyelenggaraan berkala,” katanya.
Dengan pelaksanaan projek berkenaan, jambatan baharu itu diharapkan dapat menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih berdaya tahan serta menyokong keperluan trafik di kawasan Ranggu, Tiku dan Apas selaras dengan perkembangan penduduk dan pembangunan setempat.