Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram mencetuskan panik apabila ditemui di kawasan kolam penternakan udang di Asia Aquaculture, Jalan Wakuba Gading, di sini, hari ini.
Kehadiran reptilia sepanjang kira-kira 10 kaki 6 inci itu disedari oleh seorang pelajar praktikal yang sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan kolam sebelum bertindak memaklumkan kepada pihak pengurusan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi melalui talian MERS 999 dan segera menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
Pasukan yang terdiri daripada dua pegawai dan lima anggota lain-lain pangkat itu diketuai oleh Lt. M (PA) Muhammad Anuar Wong Abdullah.

Bagi membantu operasi, Jabatan Hidupan Liar (JHL), turut berada di lokasi dan bekerjasama dalam usaha menangkap buaya berkenaan.
Pihak pengurusan kolam mengambil tindakan mengeringkan kawasan ternakan bagi memudahkan pergerakan anggota serta mengawal reptilia tersebut.
Sepanjang operasi, beberapa das tembakan dilepaskan oleh pihak JHL bagi mengawal keadaan sebelum buaya itu berjaya ditangkap.
Difahamkan, operasi turut berdepan cabaran apabila peralatan cangkuk milik Jabatan Hidupan Liar mengalami kerosakan akibat kekuatan buaya tersebut.

Selepas hampir 10 jam, buaya berkenaan akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi, dan semua anggota yang terlibat kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) dalam keadaan selamat.
APM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan komuniti serta kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.




