“Jangan sampai kemeriahan jadi keresahan rakyat” – Aliakbar cadang SMD dinilai semula

“Jangan sampai kemeriahan jadi keresahan rakyat” – Aliakbar cadang SMD dinilai semula

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran mengkaji semula kaedah, lokasi dan syarat penganjuran Sabah Moto Day (SMD), khususnya selepas program berkenaan memasuki edisi kesembilan dan terus mendapat sambutan besar dalam kalangan anak muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N16 Karambunai, YB Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, berkata cadangan itu bukan bertujuan menyekat minat golongan muda terhadap dunia permotoran, sebaliknya memastikan ruang berkenaan dapat terus diberikan dalam keadaan lebih tersusun, selamat dan mengambil kira kepentingan masyarakat.

Menurut beliau, SMD pada prinsipnya merupakan program yang wajar disokong kerana menyediakan ruang kepada anak muda untuk berkumpul, membina jaringan persahabatan serta menyalurkan minat dan tenaga mereka kepada aktiviti yang positif.

SMD

Katanya, pengalaman beliau sendiri yang sering berkonvoi dan menjalankan aktiviti bersama golongan muda memberi kefahaman bahawa dunia permotoran bukan sekadar berkaitan motosikal, tetapi turut menjadi medium untuk membina persahabatan, berkongsi pengalaman dan mengeratkan hubungan.

“Pandangan ini bukanlah untuk menyekat minat anak muda atau menutup ruang mereka. Sebaliknya, saya mahu ruang tersebut terus diberikan, tetapi dengan pengurusan yang lebih baik, lebih selamat dan lebih mengambil kira kepentingan masyarakat,” katanya.

Aliakbar berkata, apabila SMD sudah memasuki edisi kesembilan, sudah tiba masanya penganjur dan pihak berkaitan menilai semula pendekatan yang digunakan bagi mengenal pasti perkara yang boleh diperbaiki.

Menurutnya, setiap kejayaan perlu disusuli proses muhasabah supaya penganjuran pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Dalam masa sama, beliau mengambil perhatian terhadap rungutan dan aduan orang ramai, khususnya berkaitan keselesaan pengguna jalan raya, kesesakan serta kesan penganjuran program terhadap orang awam.

Katanya, suara masyarakat wajar diberi perhatian, lebih-lebih lagi apabila sesuatu program melibatkan jumlah peserta dan kenderaan yang besar.

SMD

“Kita tidak mahu keceriaan anak muda menjadi keresahan kepada pengguna jalan raya, dan kita juga tidak mahu sebuah program yang sepatutnya menjadi medan pertemuan dan kegembiraan meninggalkan rasa kurang selesa kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Aliakbar mencadangkan kerajaan mempertimbangkan lokasi khas yang lebih sesuai dan terkawal bagi penganjuran SMD serta program besar lain yang membabitkan aktiviti permotoran dan himpunan anak muda.

Menurutnya, penyediaan lokasi yang bersesuaian boleh membolehkan aktiviti permotoran terus berlangsung dalam suasana meriah tanpa terlalu menjejaskan aliran trafik dan pergerakan pengguna jalan raya lain.

Beliau turut mencadangkan supaya syarat penganjuran diperkemas, khususnya dari aspek keselamatan peserta dan orang awam, kawalan lalu lintas, pengurusan parkir, laluan kecemasan, kawalan aktiviti permotoran serta koordinasi bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Aliakbar berkata, ruang kepada anak muda tidak seharusnya dinafikan, namun ia perlu dibangunkan berasaskan nilai tertib, disiplin dan tanggungjawab.

Malah, katanya, minat terhadap permotoran boleh dikembangkan kepada bidang yang lebih bermanfaat seperti sukan permotoran terkawal, pendidikan keselamatan jalan raya, kemahiran automotif, keusahawanan serta pembangunan bakat golongan muda.

“Kita mahu Sabah menjadi negeri yang meraikan anak mudanya tanpa mengabaikan suara masyarakat. Pada masa yang sama, rakyat juga berhak menikmati jalan raya yang selamat, lancar dan selesa,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya melihat setiap rungutan masyarakat sebagai suara untuk penambahbaikan, bukannya sekadar kritikan terhadap penganjuran SMD.

Menurut Aliakbar, edisi kesembilan program itu boleh dijadikan titik untuk memperkemas pendekatan, memperbaiki kelemahan dan mencari kaedah penganjuran yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kita mahu anak muda terus diberikan ruang. Kita mahu program terus meriah. Tetapi biarlah kemeriahan itu tidak dibayar dengan keresahan rakyat,” katanya.

Beliau yakin perancangan yang lebih baik mampu mewujudkan keseimbangan antara kepentingan anak muda, kejayaan penganjur dan ketenteraman masyarakat.