KOTA KINABALU – Penyebaran sebuah poster di media sosial yang memaparkan individu dikenali sebagai Jestie Alexius dengan gambaran seolah-olah menerima pelantikan baharu di Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Jabatan Ketua Menteri Sabah, mengundang perhatian sebelum pejabat berkenaan tampil memberikan penjelasan.

Poster yang tular disifatkan palsu
Dalam kenyataan pada 2 September, PHEDNP menegaskan bahawa individu berkenaan bukan pegawai atau kakitangan PHEDNP. Malah, beliau tidak pernah dilantik, diambil bekerja atau diberikan sebarang kuasa untuk mewakili PHEDNP dalam apa-apa urusan rasmi.

Kenyataan PHEDNP
Menurut PHEDNP, penjelasan itu dibuat susulan penyebaran hantaran media sosial yang memberikan gambaran bahawa Jestie merupakan sebahagian daripada warga kerja pejabat berkenaan. Pejabat itu turut menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan bahawa individu terbabit mempunyai kedudukan sebagai pegawai atau kakitangan PHEDNP.
Orang ramai pada masa sama diingatkan supaya tidak menganggap penggunaan nama, jawatan, identiti, logo atau pengenalan PHEDNP oleh individu yang tidak diberikan kuasa sebagai sesuatu yang rasmi. PHEDNP turut menasihatkan orang awam agar tidak mempercayai, berurusan atau menyerahkan sebarang maklumat dan dokumen kepada individu berkenaan atas kapasiti yang didakwa sebagai pegawai atau kakitangan pejabat itu.
PHEDNP juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menyalurkan kepada pihak pejabat sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dakwaan penyamaran atau penyalahgunaan nama dan identiti PHEDNP. Sebarang maklumat boleh disampaikan melalui WhatsApp +6088-369403 atau e-mel [email protected].
Sumber : PEJABAT HAL EHWAL DALAM NEGERI DAN PENYELIDIKAN (PHEDNP)