TAWAU – Masjid Al-Kauthar Tawau bakal menjadi tumpuan orang ramai pada 12 September 2026 menerusi penganjuran Karnival Wakaf Sabah 2026, yang menghimpunkan pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, sukan dan kebajikan.
Berlangsung dari 4 pagi hingga 11 malam, karnival berkenaan menyediakan pengisian sepanjang hari yang terbuka kepada Muslimin dan Muslimat.
Program dimulakan seawal 4 pagi dengan Subuh Macam Jumaat yang menampilkan penceramah Ustaz Ghazali bin Ibrahim, sebelum acara pelepasan Fun Run 2.0 pada jam 6 pagi.
Kemudian, orang ramai boleh menyaksikan Kejohanan Bola Sepak 8 Sebelah Daerah Tawau yang dijadualkan bermula pada jam 8 pagi.
Pada jam 9 pagi pula, Forum Mini Dhuha bertemakan “Rahsia Amalan Pembuka Rezeki” akan berlangsung dengan menampilkan Ustaz Datuk Malai Ali bin Malai Ahmad dan Ustaz Mohamed Ashrul Syarif Tirmizi.
Dalam masa sama, pelbagai aktiviti tambahan turut disediakan termasuk Sukan Sunnah Memanah, Jualan RAHMAH MADANI, gerai jualan makanan dan minuman, pameran agensi kerajaan dan swasta, Program Derma Darah serta Zon Pemeriksaan Kanak-Kanak.

Pada jam 10 pagi, Majlis Perasmian Bazaar Souq El-Mizan dan penyerahan sumbangan Wakaf Solar Dome ABIM-MBSB akan berlangsung.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, JP, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Pengunjung turut berpeluang mengikuti Program Simulasi Haji Cilik pada jam 1 petang, diikuti pelbagai sesi taklimat pada sebelah petang berkaitan biasiswa kerajaan negeri, biasiswa Yayasan Sabah, Bantuan Pendidikan Bahagian Zakat dan Fitrah (MUIS), kepentingan sijil halal (MUIS Halal Hub), garis panduan pewakafan serta wakaf tunai MUIS.
Sebelah malam pula akan diisi dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, sebelum kemuncak acara diteruskan menerusi Malam Cinta Rasul sempena Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
Malam Cinta Rasul yang bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu turut menampilkan ceramah istimewa oleh Habib Al-Zain Aladdin bin Abu Bakar Al-Hamed.
Dengan pelbagai pengisian sepanjang hari, Karnival Wakaf Sabah 2026 di Masjid Al-Kauthar Tawau dilihat menjadi ruang untuk masyarakat bukan sahaja memahami kepentingan wakaf, malah menyertai aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan dalam suasana bersama.
Muslimin dan Muslimat dijemput hadir memeriahkan Karnival Wakaf Sabah 2026 di Masjid Al-Kauthar Tawau pada 12 September ini.