KOTA KINABALU: Pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal menyaksikan pertembungan istimewa dua anak Tambunan apabila Arddley Nicholas dan Ryenald Guntabid disenaraikan sebagai calon bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik.
Lebih menarik, kedua-dua penyanyi asal Tambunan itu bukanlah asing dengan kategori berkenaan apabila masing-masing pernah mengungguli anugerah sama dalam dua edisi terdahulu.
Arddley menerima pengiktirafan sebagai Vokal Terbaik Lelaki pada AIM23, sebelum gelaran itu menjadi milik Ryenald pada AIM24.
Bagi Arddley, pencalonan bersama Ryenald pada AIM25 membawa makna tersendiri, apatah lagi mereka bukan sahaja berkongsi asal-usul dari daerah yang sama, malah pernah bergilir-gilir menjulang trofi kategori berkenaan.
Menerima berita pencalonan itu hari ini, Arddley menyifatkan pertemuan mereka dalam kategori sama sebagai satu penghormatan dan detik yang cukup istimewa.
“Sejujurnya, saya rasa sangat terharu dan bersyukur dapat berada dalam kategori yang sama dengan Ryenald. Bagi saya, Ryenald bukan sekadar rakan sekampung, tetapi seorang vokalis yang sangat saya hormati dan kagumi,” katanya.
Menurut Arddley, pencalonan itu turut membuktikan bakat yang lahir dari Tambunan mampu berkembang sehingga menembusi pentas utama industri muzik tanah air.
Katanya, perjalanan mereka dari sebuah daerah di pedalaman Sabah sehingga berjaya mencipta nama di AIM menjadi sesuatu yang wajar dibanggakan.
“Dari Tambunan yang begitu jauh dari pentas industri muzik utama, akhirnya kami berdua boleh sampai ke tahap ini dan berada dalam kategori yang sama di AIM.
“Bagi saya, itu sendiri sudah merupakan satu kebanggaan yang sangat besar,” katanya.
Bukan soal menewaskan satu sama lain
Arddley turut menegaskan beliau tidak melihat pencalonan Ryenald sebagai satu persaingan yang perlu dimenangi dengan mengalahkan rakan sekampungnya itu.
Sebaliknya, beliau melihat peluang berkongsi pentas dengan penyanyi yang dihormatinya itu sebagai satu bentuk penghargaan terhadap perjalanan muzik mereka.
“Saya tidak melihat Ryenald sebagai seseorang yang perlu saya kalahkan. Saya lebih melihat ini sebagai satu penghormatan kerana dapat berkongsi pentas yang sama dengan seorang penyanyi yang begitu berbakat,” katanya.
Malah, Arddley berkata beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan pada malam anugerah berkenaan, termasuk sekiranya kemenangan sekali lagi berpihak kepada Ryenald.
“Kalau rezeki itu berpihak kepada Ryenald, saya akan tetap berbangga dan tumpang gembira untuk dia.
“Yang paling penting ialah kami dapat membawa nama Tambunan dan Sabah bersama-sama ke pentas ini,” katanya.
Pertemuan dua bekas juara dalam kategori sama itu sekali gus memberikan warna tersendiri kepada AIM25, khususnya apabila dua anak Tambunan yang pernah menguasai kategori berkenaan kini kembali bersaing untuk merebut pengiktirafan yang sama.
Ia juga menjadi gambaran bagaimana bakat dari daerah berkenaan terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri muzik arus perdana Malaysia.
AIM25 dijadual berlangsung pada 26 September ini di Kuching, Sarawak, dengan perhatian turut terarah kepada Arddley dan Ryenald dalam perebutan trofi Vokal Lelaki Terbaik.