RM8.24 Juta Sokong Pemerkasaan Wanita, Fokus Luas Manfaat Ke Luar Bandar

RM8.24 Juta Sokong Pemerkasaan Wanita, Fokus Luas Manfaat Ke Luar Bandar

TAWAU – Kerajaan Sabah terus memberi perhatian terhadap usaha memperkasa golongan wanita, termasuk memperluas manfaat program kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi peruntukan RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) tahun ini.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk Rina Haji Jainal berkata, sokongan peruntukan itu penting bagi memastikan pelbagai inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa masyarakat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga melihat keperluan untuk meningkatkan peruntukan dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih banyak usaha pemerkasaan dilaksanakan, khususnya dalam membantu meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar.

“Daripada segi peruntukan, memang kita mengharapkan ada lebih banyak peruntukan ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, ada peningkatan juga yang telah diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini dan ini kita akan terus mempertingkatkan, memperkasakan lagi ekonomi di peringkat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat DUN Kukusan, di sini.

Rina turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Daerah Tawau atas penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi ruang untuk kerajaan mendekati masyarakat serta menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif dan bantuan yang tersedia.

Beliau berkata program tersebut juga merupakan sebahagian daripada siri aktiviti Komuniti MADANI yang dilaksanakan di peringkat DUN dan daerah Tawau.

Dalam pada itu, Rina berkata keberkesanan sesuatu program turut bergantung kepada keupayaan kerajaan mengenal pasti kelompok yang masih belum mendapat manfaat agar bantuan dan sokongan dapat disalurkan dengan lebih tepat.

Katanya, aspek sistem penyampaian perlu sentiasa ditambah baik supaya kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

Pada masa sama, beliau berkata pendekatan turun padang menerusi program outreach menjadi antara kaedah penting untuk mendekati masyarakat, khususnya mereka yang mungkin kurang mendapat akses kepada maklumat berkaitan program kerajaan.

“Program-program berbentuk outreach ini memang sudah banyak dilaksanakan. Mungkin kita masih lagi kurang mendapat maklumat mengenai aktiviti yang dilaksanakan daripada peringkat kerajaan.

 

“Disebabkan itulah tanggungjawab Jabatan Penerangan untuk terus memastikan program seumpama ini dapat memperkasakan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara Jabatan Penerangan dengan jabatan serta agensi kerajaan lain terus diperkukuh bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan, kemudahan dan program kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas.

Menurutnya, pendekatan bersepadu antara agensi juga penting supaya usaha yang dilaksanakan di peringkat negeri dan Persekutuan dapat memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat.

Rina berkata, agenda pemerkasaan wanita perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan hanya melalui pemberian bantuan, sebaliknya turut memberi ruang kepada wanita meningkatkan kemahiran, keupayaan berdikari dan taraf ekonomi keluarga.

Beliau berharap lebih banyak program yang mendekati komuniti dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya golongan wanita di seluruh Sabah tidak ketinggalan dalam menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan.