TAWAU – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kampung Baru Pasir Putih berlangsung meriah dengan penyertaan penduduk yang bersama-sama menghidupkan suasana penuh ukhuwah dan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandi berkata, sambutan berkenaan merupakan program tahunan yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Menurutnya, walaupun keadaan cuaca pada awal program menunjukkan tanda-tanda hujan, penduduk tetap bersemangat menyertai perarakan yang bermula dari masjid dan berakhir di perkarangan masjid.
“Alhamdulillah, program sambutan Maulid Rasul peringkat Kampung Baru Pasir Putih berjalan dengan lancar dan baik.
“Walaupun di peringkat awal ada tanda-tanda hujan, semangat kebersamaan dan kekuatan orang-orang kampung yang sama-sama berarak membolehkan program ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat kembali menghayati keperibadian, ketokohan serta akhlak mulia Rasulullah SAW.
Katanya, penghayatan terhadap kehidupan dan ajaran Rasulullah SAW penting dalam membentuk masyarakat yang mempunyai nilai keimanan serta hubungan yang baik sesama anggota komuniti.

“Saya harapkan program seperti ini dapat meningkatkan lagi kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sentiasa mengingati ketokohan dan akhlak Baginda.
“Mudah-mudahan program seperti ini dapat merapatkan lagi silaturahim, meningkatkan keimanan dan seterusnya membawa kebersamaan dalam semangat orang-orang kampung,” katanya.
Andi turut menghargai komitmen penduduk yang terus menyokong penganjuran program keagamaan seperti itu, yang dilihat mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berharap sambutan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW.