KOTA KINABALU – Program Sabah Motor Day (SMD) dilihat sebagai salah satu platform yang memberi ruang kepada komuniti belia berasaskan minat, khususnya kelompok yang terlibat dalam dunia automotif dan permotoran.
Antara Penggerak Utama Program SMD Siri 7.0, 8.0 dan 9.0, Puan Fifi Rafiedah, berkata pembangunan belia perlu dilihat secara menyeluruh kerana golongan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang, keperluan dan kecenderungan.
Menurut Puan Fifi, yang juga Tokoh Kepimpinan Belia, Aktivis Sosial dan Duta Antarabangsa, belia bukan satu kelompok yang seragam kerana terdapat belia bersekolah, pengajian tinggi, berkerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia antarabangsa, minoriti dan terpinggir serta belia berisiko.

Dalam konteks itu, katanya, SMD memberi fokus kepada perkumpulan belia berasaskan minat, khususnya komuniti permotoran yang memerlukan ruang sesuai untuk berkumpul, berinteraksi, membina jaringan dan menyalurkan minat dalam persekitaran lebih tersusun.
“Seperti kelompok belia yang lain, komuniti permotoran juga memerlukan ruang yang sesuai untuk berkumpul, berinteraksi, membina jaringan dan menyalurkan minat mereka dalam persekitaran yang lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan pada masa sama menyediakan pelbagai platform bagi kelompok belia dengan minat berbeza menerusi program seperti Felo SMJ, Dewan Belia Sabah, Tamu Suara Belia, program kepimpinan, kesukarelawanan, sukan, seni dan keusahawanan.
Menurutnya, pendekatan itu menunjukkan pembangunan belia tidak seharusnya dilihat hanya melalui satu bentuk aktiviti.
“Ada belia yang cenderung kepada kepimpinan, ada kepada sukan, seni, teknologi, keusahawanan dan ada juga yang membina komuniti melalui minat terhadap dunia automotif dan permotoran.
“Prinsipnya ialah memberi ruang secara adil kepada kepelbagaian minat belia,” katanya.
Isu kebersihan, keselamatan perlu diberi perhatian
Dalam masa sama, Fifi berkata pandangan masyarakat berhubung isu kebersihan, bunyi bising, kesesakan trafik dan keselamatan jalan raya perlu terus diberi perhatian dalam setiap penganjuran acara berskala besar.
Katanya, aspek berkenaan perlu dinilai dan ditambah baik dari segi pengurusan acara, kawalan trafik, keselamatan, kebersihan, penguatkuasaan serta pematuhan peraturan.
Namun, beliau berkata perlu ada perbezaan antara objektif penganjuran sesuatu program dengan tindakan individu yang hadir.
Menurutnya, penganjur bertanggungjawab menyediakan sistem, garis panduan, kawalan dan kemudahan yang sewajarnya, manakala peserta serta pengunjung pula mempunyai tanggungjawab memastikan tingkah laku, keselamatan, kebersihan dan pematuhan undang-undang dipelihara.
“Sekiranya terdapat kelemahan dalam penganjuran, ia perlu diperbaiki. Sekiranya terdapat pelanggaran oleh individu, ia perlu ditangani melalui kesedaran dan penguatkuasaan yang sewajarnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kewujudan beberapa isu tidak semestinya bermaksud keseluruhan program tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

Sebaliknya, nilai sesuatu program belia perlu dilihat daripada objektif lebih besar untuk menyediakan saluran positif kepada golongan muda bagi berkarya, membina komuniti serta menyalurkan tenaga dan minat mereka dalam ruang yang terkawal.
Fifi berkata, tenaga dan kreativiti golongan belia sekiranya diberikan ruang yang sesuai berpotensi membentuk komuniti lebih produktif, membina jaringan ekonomi, membuka peluang kepada usahawan, meningkatkan kemahiran serta mewujudkan budaya lebih positif.
“Sabah Motor Day bukanlah program untuk semua orang. Tetapi seperti program belia yang lain, ia diwujudkan untuk satu kelompok masyarakat yang mempunyai minat tersendiri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga perlu terus mengambil kira pandangan masyarakat, memperbaiki kelemahan dan memastikan setiap program dilaksanakan dengan lebih teratur, selamat serta memberi nilai kepada belia.
“Pembangunan belia bukan tentang memastikan semua belia melakukan perkara yang sama. Ia adalah tentang memastikan setiap kelompok belia mempunyai ruang yang sesuai untuk berkembang.”