TAWAU – Sekolah Kebangsaan (SK) Melodi Tawau melakar satu lagi detik bersejarah apabila meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan SK Melodi, dalam suasana meriah bersama warga sekolah, ibu bapa, agensi serta komuniti setempat.
Guru Besar SK Melodi, Puan Surtinah Amran, berkata sambutan berkenaan menjadi satu catatan bermakna dalam perjalanan sekolah yang telah berkembang selama 25 tahun.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan sambutan berkenaan, termasuk agensi luar yang membuka reruai pameran dan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung.
“Terlebih dahulu saya selaku ketua pentadbir bagi SK Melodi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama dengan kami untuk menjayakan hari yang bersejarah bagi SK Melodi, iaitu sambutan jubli perak 25 tahun penubuhan SK Melodi,” katanya.
Antara agensi dan organisasi yang terlibat termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Co-opbank, BDRM, Pharma, Persatuan Peladang, PTPTN serta Pejabat Penerangan Daerah Tawau.

Sambutan turut dimeriahkan dengan pameran sejarah sekolah dan agensi luar, pertandingan akhir nyanyian solo sekolah rendah dan menengah, persembahan tarian sambut tamu oleh kumpulan Melodi Tari serta persembahan Montaj Sambutan Jubli Perak 2026.
Acara kemuncak turut menyaksikan gimik perasmian Sambutan Jubli Perak 2026, penubuhan Kelab Alumni SKMT serta pelancaran “Kapsul Masa Melodi”.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada hakim dan perasmi serta penyampaian hadiah pertandingan Melodi Got Talent bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.
Jualan, pameran dan pemeriksaan kesihatan
Sambutan jubli perak itu turut memberi manfaat kepada pengunjung menerusi penglibatan pelbagai agensi dan organisasi.
Persatuan Peladang Tawau bersama FAMA menyediakan jualan kepada pengunjung, manakala LHDN mengadakan pameran untuk memberikan maklumat kepada masyarakat.

Turut disediakan ialah pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Surtinah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan sambutan tersebut, termasuk PK Kokurikulum, Encik Mohd Faizal AB Karim, yang bersama-sama menjadi antara tulang belakang penganjuran program.
Beliau berharap sambutan jubli perak itu menjadi kenangan indah kepada semua yang hadir serta warga SK Melodi.

“Semoga hari yang bersejarah ini memberi suatu lagi catatan memori indah dalam diari kita,” katanya.
Lebih menarik, Surtinah turut berharap warga sekolah diberikan kesihatan, keselamatan dan umur yang panjang untuk bersama-sama meraikan satu lagi pencapaian besar pada masa akan datang.
“Semoga kita diberi keselamatan, kesihatan, rezeki, umur yang panjang untuk kita sama-sama lagi menghadapi pada tahun 2050, iaitu sambutan jubli emas,” katanya.
25 tahun berlalu, SK Melodi terus melakar cerita. Dari jubli perak menuju jubli emas, perjalanan sekolah ini pastinya akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah pendidikan dan komuniti Tawau.