TAWAU: Politeknik Tawau Sabah (PTS) melalui Jabatan Akademik telah menganjurkan Tourism & Recreation Innovation Competition via Exhibition 4.0 (TRICE 4.0) yang berlangsung di Bilik Kuliah dan Dewan Kuliah Al-Jabbar, Politeknik Tawau Sabah.
Program yang melibatkan pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi (DRT) dan Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP) ini disertai seramai 113 orang pelajar yang membentuk 30 kumpulan bagi menghasilkan dan mengetengahkan projek inovasi dalam bidang pelancongan dan rekreasi.

TRICE 4.0 merupakan pertandingan inovasi dan pameran projek akhir pelajar yang dilaksanakan berasaskan konsep pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar membangunkan idea inovatif, menghasilkan prototaip serta membentangkan produk melalui sesi pembentangan dan pameran di reruai masing-masing untuk dinilai oleh panel juri.
Pelaksanaan TRICE 4.0 turut memberi penekanan kepada penghasilan produk yang mempunyai elemen kebolehpasaran, kelestarian dan impak kepada komuniti, di samping menyokong aspirasi Sustainable Development Goals (SDG).
Sesi penjurian melibatkan panel jemputan luar daripada institusi akademik dan pihak industri, termasuk Dr. Richeal Phil Thien Kim How, Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau (IPGKT), Dr. Choo Siow Chin, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau serta rakan kolaborasi industri PTS antaranya Encik Ibrahum bin Haji Palau Pengurus Assyifa Enterprise dan Cik Ummi Nadiatus Syafiqah binti Ahmad Program Koordinator Lepak Chamber. Penglibatan panel luar ini memberi pendedahan kepada pelajar terhadap proses penilaian yang lebih hampir dengan suasana pertandingan inovasi sebenar.

Penganjuran TRICE 4.0 juga bertujuan meningkatkan kemahiran kepimpinan, keyakinan, kerjasama dan tanggungjawab pelajar dalam melaksanakan projek akhir. Selain itu, program ini menjadi platform untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam penghasilan produk inovasi serta membudayakan kaedah penyelidikan dan pembangunan produk.
Kemuncak program menyaksikan pengumuman pemenang bagi beberapa kategori anugerah yang dipertandingkan, iaitu Video Teaser Terbaik, Poster Terbaik, Anugerah Reruai Kreatif, Kumpulan Pembentangan Terbaik, Anugerah Khas Juri, Anugerah Khas Industri serta Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan.
Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Mohamad Zackwan bin Utta, Nur Syafiqa Allisya binti Romainor, Muhammad Syafiq Hakimi Yasin Abdullah, Mohd Adam Shafee bin Rodzainie dibawah seliaan Puan Suhaini binti Ibrahim dengan produk inovasi PALTEGO.

Penganjuran TRICE 4.0 diharapkan dapat terus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan pelajar PTS serta melahirkan graduan yang kreatif, berdaya saing, berkemahiran dan mampu menghasilkan penyelesaian inovatif yang relevan dengan keperluan industri pelancongan dan rekreasi.
Politeknik Tawau Sabah terus komited memperkasa pendidikan TVET yang berteraskan inovasi, kreativiti, kolaborasi industri dan pembangunan bakat pelajar selaras dengan keperluan semasa.