Tawau Antara Penyumbang Utama Wakaf Di Sabah – Nizam

Tawau Antara Penyumbang Utama Wakaf Di Sabah – Nizam

TAWAU – Masyarakat Islam di Tawau diseru terus memperkukuh amalan wakaf sebagai salah satu bentuk tanggungjawab kepada agama dan usaha menyumbang kepada kemaslahatan umat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata Tawau merupakan antara daerah yang telah banyak menyumbang kepada amalan wakaf di Sabah.

Menurut beliau, perkara itu turut didorong oleh kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam di Tawau, khususnya mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan, terhadap tanggungjawab menyumbang kepada agama.

“Alhamdulillah, ramai di kalangan penduduk di Tawau ini adalah mereka yang berjaya dalam perniagaan. Apabila mereka berjaya dalam perniagaan, mereka mempunyai harta.

“Oleh kerana kesedaran mereka terhadap tanggungjawab kepada agama, maka sudah pasti mereka ini mempunyai kelebihan untuk mewakafkan harta mereka, tanah mereka dan apa sahaja bagi kemaslahatan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Program Jom Berselawat, Malam Cinta Rasul sempena pelancaran Bulan Wakaf di Tawau.

Menurut Nizam, program berkenaan bukan sahaja memberi kesedaran mengenai kepentingan melaksanakan amal wakaf, malah menjadi ruang untuk masyarakat mendekatkan diri serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Katanya, program tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti kuliah Subuh, fun run, pameran agensi-agensi keagamaan negeri Sabah serta Jualan RAHMAH, yang memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk Tawau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana membawa tokoh ulama terkenal, Habib Ali Zainal Abidin, selain Timbalan Pengerusi MUIS, Ustaz Datuk Malai Ali, dan penceramah jemputan dari Kuala Lumpur, Ustaz Ghazali Ibrahim.

“Sudah pasti program pada malam ini telah memberi banyak ilmu agama, kefahaman tentang pentingnya cinta kepada Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW adalah hamba yang paling dikasihi, yang paling dicintai oleh Allah SWT,” katanya.

Nizam berharap masyarakat Tawau dapat mengambil iktibar daripada pengisian program dengan memperbanyakkan selawat, mencintai Nabi Muhammad SAW serta menjadikan teladan Baginda sebagai panduan dalam kehidupan.

Beliau turut berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan bukan sahaja sempena Bulan Wakaf, tetapi secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

“Saya rasa bersyukur kerana Tawau merupakan salah satu daerah yang telah banyak menyumbang kepada ibadat wakaf di negeri Sabah ini dan kita berharap akan lebih ramai lagi masyarakat Islam dapat melaksanakan amal ibadat ini,” katanya.