Bayar RM50 juta, Najib boleh jalani hukuman di rumah

Bayar RM50 juta, Najib boleh jalani hukuman di rumah

KUALA LUMPUR, 18 September 2026 – Selepas dipenjara atas sabitan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib, dengan beliau turut tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.

Perkara itu dilaporkan selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan semula permohonan pengampunan Najib.

Najib sebelum ini dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Tinggi pada 2020 mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan dalam kes SRC International.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan sebelum Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 menolak rayuan terakhir Najib, sekali gus menyebabkan beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dengan keputusan terbaharu itu, Najib yang telah menjalani hukuman penjara selama lebih empat tahun boleh meneruskan baki hukumannya melalui tahanan rumah sehingga tarikh yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut berdepan hukuman 15 tahun penjara selepas Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 mensabitkannya bersalah dalam kes membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hukuman berkenaan sebelum ini diperintahkan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.

#TawauKini