Waspada panggilan nombor rasmi palsu, penjenayah guna teknik spoofing

Waspada panggilan nombor rasmi palsu, penjenayah guna teknik spoofing

KOTA KINABALU: Panggilan telefon yang memaparkan nombor seolah-olah milik pihak berkuasa, bank atau agensi kerajaan tidak semestinya boleh dipercayai kerana penjenayah kini mampu memalsukan nombor telefon menggunakan teknik spoofing call.

Teknik berkenaan membolehkan nombor telefon yang tertera pada skrin penerima kelihatan seperti nombor rasmi, sekali gus digunakan untuk meyakinkan mangsa bahawa panggilan tersebut benar-benar datang daripada pihak yang dipercayai.

Menerusi modus operandi itu, penjenayah lazimnya menyamar sebagai pihak berkuasa, institusi perbankan atau agensi kerajaan sebelum menggunakan pendekatan menakutkan mangsa bagi mendapatkan maklumat peribadi, maklumat perbankan atau wang.

nombor

Orang awam dinasihatkan supaya tidak panik atau terburu-buru mengikut arahan apabila menerima panggilan mencurigakan, sebaliknya kekal tenang dan menghentikan panggilan sekiranya mendapati terdapat perkara yang meragukan.

Antara langkah yang boleh diamalkan ialah konsep 3S iaitu Soal, Sekat dan Sebar bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Soal merujuk kepada tindakan menyemak kesahihan maklumat yang disampaikan oleh pemanggil sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sekat pula bermaksud tidak memberikan atau berkongsi maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak yang tidak dapat dikenal pasti atau disahkan kesahihannya.

Manakala Sebar ialah tindakan berkongsi maklumat berkaitan modus operandi penipuan dengan pihak berkuasa, keluarga atau rakan-rakan supaya orang lain turut berwaspada.

Orang awam juga perlu memahami bahawa paparan nombor telefon yang kelihatan rasmi bukan jaminan bahawa panggilan berkenaan benar-benar datang daripada organisasi tersebut.

Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa dan mendapati terdapat transaksi mencurigakan, tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi pihak bank melalui talian hotline rasmi bagi mendapatkan bantuan untuk menghentikan transaksi berkenaan.

Mangsa turut boleh menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 serta membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam menghadapi ancaman penipuan telefon, sikap berhati-hati dan tidak mudah panik menjadi antara langkah penting bagi mengelakkan maklumat peribadi, akses perbankan dan wang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: Polis Daerah Keningau