TAWAU: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah membantah cadangan penutupan UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang didakwa akan menumpukan keseluruhan operasinya ke kampus utama di Kota Kinabalu.
Yang Dipertuanya, YB Azhar Datuk Hj Matussin, berkata langkah itu dikhuatiri menjejaskan akses pendidikan tinggi kepada Bumiputera Sabah, khususnya golongan dari kawasan Pantai Timur dan pedalaman negeri ini.
Beliau berkata, UiTM telah bertapak di Tawau sejak 1996 dan memainkan peranan penting menyediakan peluang melanjutkan pengajian tinggi kepada masyarakat dari Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta daerah sekitarnya.
Menurutnya, kampus berkenaan pada awalnya beroperasi di sebuah rumah kedai di bandar Tawau sebelum berpindah ke kampus tetap pada 2006.

Sepanjang tempoh hampir tiga dekad itu, UiTM Tawau menjadi antara laluan penting bagi Bumiputera Sabah untuk mendapatkan pendidikan tinggi, termasuk menerusi program pra-diploma yang membuka peluang kepada pelajar menyambung pengajian ke peringkat diploma.
Katanya, ramai pelajar yang melalui laluan berkenaan berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat pascasiswazah.
Azhar berkata, penutupan kampus itu juga dikhuatiri akan menambah beban pelajar dari Pantai Timur Sabah kerana mereka perlu berpindah ke Kota Kinabalu untuk menyambung pengajian.
Beliau turut mempersoalkan kemampuan kampus utama di Kota Kinabalu menampung pertambahan pelajar sekiranya operasi di Tawau dihentikan, memandangkan kemudahan asrama dan akademik di kampus berkenaan didakwa sudah beroperasi melebihi kapasiti.
“Menutup Tawau bermakna memaksa anak-anak Pantai Timur Sabah merantau semula untuk menyambung pengajian. Ini satu langkah ke belakang,” katanya.
Menurut Azhar, UiTM Tawau dibangunkan hasil usaha pemimpin terdahulu, komitmen warga institusi serta sokongan Kerajaan Negeri Sabah, justeru kewujudannya tidak seharusnya diketepikan tanpa penelitian menyeluruh terhadap kesan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, persatuan tidak menolak cadangan penubuhan politeknik di Tawau, malah menyokong usaha memperluas pilihan pendidikan teknikal dan vokasional di daerah itu.
Bagaimanapun, katanya, penubuhan politeknik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup UiTM Tawau kerana kedua-dua institusi mempunyai objektif dan peranan pendidikan yang berbeza.
Mahu tanah kampus dikekalkan untuk pendidikan
Dalam perkembangan sama, Persatuan Alumni UiTM Sabah menegaskan tanah yang diperuntukkan bagi kampus berkenaan perlu dikekalkan untuk tujuan pendidikan dan tidak dikompromi.
Azhar berkata, tanah itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi pembangunan pendidikan serta masa depan Bumiputera Sabah.
Beliau turut melihat UiTM Tawau mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang agroperniagaan dan keusahawanan tani, selaras dengan kegiatan ekonomi Pantai Timur Sabah yang banyak bergantung kepada sektor perladangan dan pertanian.
“Mempertahankan kampus ini bukan sekadar soal tanah. Ia soal peluang pendidikan Bumiputera dan masa depan pengajian tinggi di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Azhar berkata, persatuan telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada 24 Ogos 2026 bagi memohon supaya sebarang cadangan penutupan atau pengurangan operasi kampus itu diteliti semula secara menyeluruh.
Sehubungan itu, persatuan menyeru Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UiTM supaya mengekalkan serta memperkukuh peranan Kampus Tawau.
Persatuan Alumni UiTM Sabah turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kampus berkenaan terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan sosioekonomi masyarakat Pantai Timur Sabah.