KOTA KINABALU – Bukan sehari dua, cuaca kering kini berlarutan di lapan kawasan Sabah sehingga 12 hingga 14 hari tanpa hujan, mendorong pihak Bomba mengeluarkan amaran iaitu risiko kebakaran terbuka dan jerebu di kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, kawasan yang tidak menerima hujan melebihi tujuh hari dikategorikan sebagai berisiko tinggi berlaku kebakaran terbuka dan jerebu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara seperti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca kering.
Keningau dan Pitas mencatatkan tempoh tanpa hujan paling lama, iaitu 14 hari, diikuti Pusat Ternakan Wario di Kota Belud dan Stesen Ranau yang masing-masing merekodkan 13 hari tanpa hujan.
Empat lokasi lain ialah Pejabat Pertanian Kimanis di Papar, Laban Rata Gunung Kinabalu di Ranau, Sub-Station Serinsim di Kota Marudu dan Stesen Kota Kinabalu, masing-masing dengan 12 hari berturut-turut tanpa hujan.
Mohd Pisar berkata, individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 [Akta 127].
Sumber : BERNAMA