KOTA KINABALU, 8 Oktober 2026 – PAS Sabah memandang serius kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang didakwa semakin membimbangkan.
Dalam program Bicara Tokoh di Kuala Lumpur minggu lalu, Ayob Khan antara lain menegaskan bahawa usaha membanteras dadah tidak boleh berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk sekiranya wujud pihak tertentu yang melindungi kegiatan berkenaan.
Kenyataan itu turut menyentuh isu integriti dalam penguatkuasaan, termasuk keperluan memastikan tindakan terhadap kegiatan dadah tidak dipengaruhi wang, pengaruh atau kedudukan.
Mengulas perkara itu, Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, isu dadah bukan sekadar soal jenayah, sebaliknya turut menyentuh keselamatan rakyat, masa depan generasi muda dan kestabilan masyarakat.
Beliau menegaskan usaha membanteras dadah mesti dilaksanakan secara tegas, menyeluruh dan adil tanpa memilih bulu.
“Jangan ada tindakan terpilih, jangan ada dwistandard dan jangan ada salah guna kuasa dalam penguatkuasaan.
“Undang-undang mesti berdiri tegak untuk semua, bukan keras kepada yang lemah tetapi lunak kepada mereka yang mempunyai pengaruh,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Aliakbar berkata, sekiranya benar terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau perlindungan terhadap kegiatan pengedaran dadah, perkara berkenaan perlu disiasat secara telus dan diambil tindakan mengikut undang-undang.
Menurutnya, perang terhadap dadah juga perlu merangkumi usaha membanteras rangkaian yang berselindung di sebalik kuasa, wang dan pengaruh.
Beliau turut memberi amaran bahawa kesan dadah bukan hanya terhadap individu dan keluarga, malah boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah serta kerosakan harta benda dan infrastruktur awam.
“Sabah memerlukan penguatkuasaan yang berani, bersih dan berintegriti. Jangan biarkan wang membeli keadilan, jangan biarkan kuasa membungkam kebenaran dan jangan biarkan dadah merampas masa depan anak-anak Sabah,” katanya.
#TawauKini