Pulang bercuti berakhir tragedi, lelaki dipercayai bunuh isteri di Kalabakan

Pulang bercuti berakhir tragedi, lelaki dipercayai bunuh isteri di Kalabakan

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, di sini, dalam kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 4.55 petang, 28 September 2026.

Menurutnya, mangsa berusia 37 tahun dan bekerja di Ladang Felda Umas 6.

“Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

bunuh

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang juga merupakan suami mangsa.

Rosdi berkata, lelaki berkenaan turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa.

“Polis turut menemukan serta merampas beberapa barang kes untuk membantu siasatan,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti.

Bagaimanapun, Rosdi berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan serta bedah siasat.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tawau, ASP Maliki bin Majuni, di talian 017-898 9171 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Polis Daerah Tawau