TAWAU – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara, Tawau mula berjalan semula secara berperingkat selepas keadaan air mentah mencapai piawaian yang ditetapkan, sekali gus membolehkan proses pemulihan bekalan air diteruskan.
Menurut kenyataan Jabatan Air Bahagian Tawau, pemantauan terhadap operasi loji dan keadaan bekalan air akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi berjalan dengan terkawal.
Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah sementara proses pemulihan bekalan masih berlangsung.
Jabatan Air Bahagian Tawau memaklumkan bahawa bekalan air mungkin mengambil masa untuk kembali stabil, bergantung pada keadaan sistem agihan dan kawasan masing-masing.
Sehubungan itu, pengguna diminta bersabar sepanjang proses pemulihan bekalan air dilaksanakan secara berperingkat.
Jabatan Air Bahagian Tawau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air berkenaan.