Fiesta SKALA 60 gegar Kalabakan 6-8 November, Fun Run, konsert dan jualan rahmah antara tarikan

Fiesta SKALA 60 gegar Kalabakan 6-8 November, Fun Run, konsert dan jualan rahmah antara tarikan

TAWAU: Sambutan Jubli Intan ke-60 Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan bakal dimeriahkan menerusi penganjuran Fiesta SKALA 60 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 November ini, dengan pelbagai aktiviti untuk warga sekolah, alumni, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Mengangkat tema “60 Tahun Menyinar, Bersama Membina SKALA yang Menyala”, fiesta berkenaan bukan sahaja menjadi wadah meraikan enam dekad perjalanan sekolah itu, malah membuka ruang kepada komuniti untuk mengeratkan silaturahim menerusi aktiviti pendidikan, kebudayaan, kesihatan dan hiburan.

Program yang berlangsung di SK Kalabakan, Tawau itu turut mengalu-alukan penyertaan penduduk Kalabakan, warga Tawau serta masyarakat dari kawasan sekitarnya.

kalabakan

Antara aktiviti yang dijadualkan ialah pertandingan dart dan program SKALA Berselawat pada 6 November, diikuti pelbagai acara pada 7 November termasuk pertandingan mewarna prasekolah, nyanyian cilik, tarian etnik kreatif, memanah, pameran agensi, program derma darah dan saringan kesihatan.

Pengunjung turut berpeluang menikmati jualan bazaria sepanjang program berlangsung, selain menyaksikan persembahan Konsert SKALA yang menampilkan Krenggg Busker serta bintang-bintang Kalabakan.

Kemuncak fiesta dijadualkan pada Ahad, 8 November, menerusi majlis perasmian yang akan disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady bin Haji Bandy.

Hari terakhir turut menampilkan acara Fun Run 2026, program penanaman pokok sempena enam dekad sekolah berkenaan, jualan Rahmah serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

kalabakan

Penganjuran fiesta itu turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan harian menerusi jualan Rahmah pada harga berpatutan, di samping menyertai aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

Dengan pengisian yang merangkumi pelbagai lapisan umur, Fiesta SKALA 60 diharap menjadi platform untuk menghimpunkan warga sekolah, bekas pelajar dan komuniti setempat bagi meraikan sejarah serta sumbangan SK Kalabakan dalam bidang pendidikan sepanjang enam dekad.

Orang ramai yang berkelapangan dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan sambutan berkenaan.