“Peruntukan ada, dana tak disalur” – Zahid dedah pembatalan Projek Luar Bandar Sabah dan Sarawak

“Peruntukan ada, dana tak disalur” – Zahid dedah pembatalan Projek Luar Bandar Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR – Sebahagian projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diluluskan bagi tahun 2026 dibatalkan meskipun peruntukan telah tersedia, ekoran ketiadaan penyaluran dana.

Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata, pembatalan berkenaan menjejaskan penduduk luar bandar yang menantikan pelaksanaan projek pembangunan, termasuk kemudahan yang telah dirancang untuk kawasan mereka.

“Terdapat projek-projek tahun 2026 yang telah diarahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian untuk dibatalkan, sedangkan peruntukannya telah ada tetapi tidak ada penyaluran dana.

“Yang jadi mangsa adalah Sabah dan Sarawak. Begitu juga masyarakat kampung lain di Semenanjung. Jadi tidak sepatutnya itu berlaku,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa pembatalan bukan sahaja melibatkan projek yang telah diluluskan, malah turut membabitkan projek yang Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan.

“Termasuk SST yang telah dikeluarkan juga dibatalkan. Ini hakikatnya. Itu yang jadi masalah,” katanya.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu mematuhi arahan Kementerian Kewangan bertarikh 10 September 2026 supaya pengeluaran SST bagi projek Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang belum dimulakan ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta.

13 projek jalan luar bandar Sabah dibangkitkan

Pendedahan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mengenai status projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, meminta penjelasan sama ada pembatalan berkenaan turut melibatkan 13 projek jalan luar bandar di Sabah, selain ingin mengetahui sama ada projek terbabit dibatalkan sepenuhnya atau berpeluang dilaksanakan pada 2027.

Menjawab perkara itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa projek jalan yang dibangkitkan termasuk dalam projek terjejas, namun berharap pelaksanaannya dapat disambung semula pada tahun hadapan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, turut membangkitkan kemungkinan pembatalan SST bagi projek Jalan Sinar Jaya di kawasannya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan itu mempunyai kaitan dengan polemik dakwaan KKDW terlebih berbelanja sebanyak RM2.1 bilion.

Kurniawan menyifatkan pembatalan projek yang telah lama dimohon sebagai menjejaskan penduduk luar bandar yang masih menantikan kemudahan jalan raya.

Sebagai respons, Ahmad Zahid berkata beliau akan berusaha memberikan keutamaan kepada projek yang dibangkitkan, termasuk di Kinabatangan dan Puncak Borneo.

Beliau turut memohon maaf kerana perlu berterus terang mengenai pembatalan berkenaan sambil menegaskan bahawa projek yang telah diumumkan sepatutnya dilaksanakan.

“Saya mohon maaf kerana saya terpaksa bercerita terus terang mengenai hal ini. Saya fikir apa yang perlu, jika telah diumumkan, mesti dilaksanakan. Jangan melaksanakan projek yang tidak diumumkan,” katanya.

KKDW utamakan projek sedang berjalan

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan projek yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan, tuntutan bayaran yang sah diselesaikan dan komitmen baharu dikawal mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Sehingga 30 September 2026, Program Jalan Luar Bandar (JALB) melibatkan 415 projek pada pelbagai peringkat pelaksanaan, dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion yang merangkumi komitmen kewangan bagi beberapa tahun.

Bagaimanapun, status akhir setiap projek yang terjejas, termasuk sama ada pembatalan akan dikekalkan atau projek berkenaan disambung semula pada 2027, masih memerlukan pengesahan lanjut.

Perkembangan itu meletakkan status projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak dalam perhatian, khususnya bagi penduduk yang masih menantikan kemudahan asas dan jaringan jalan raya di kawasan masing-masing.