Jangan Tunggu Kerja Makan Gaji, Belia Sabah Digesa Teroka Ekonomi Gig

Jangan Tunggu Kerja Makan Gaji, Belia Sabah Digesa Teroka Ekonomi Gig

TAWAU – Golongan belia di Sabah digesa supaya tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji, sebaliknya meneroka peluang menjana pendapatan sendiri menerusi ekonomi gig dan perniagaan kecil bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas berkata, usaha memperluas peluang pekerjaan dan sumber pendapatan perlu dipergiatkan susulan kadar pengangguran Sabah yang dilaporkan sebanyak 7.2 peratus berdasarkan Laporan Tenaga Buruh 2025.

Menurutnya, penganjuran Karnival Gigpreneur, Ekonomi dan Kerjaya (G.E.K) ESS ZONE 2026 merupakan antara inisiatif untuk membantu masyarakat mengenal pasti peluang pekerjaan, perniagaan serta sumber pendapatan alternatif.

Karnival berkenaan menawarkan sebanyak 200 peluang pekerjaan menerusi penyertaan 10 jabatan kerajaan dan swasta, sekali gus memberi ruang kepada pencari kerja mendapatkan maklumat serta meneroka peluang kerjaya yang bersesuaian.

Syed Ahmad berkata, masyarakat khususnya golongan muda perlu berani memulakan usaha sendiri walaupun secara kecil-kecilan dari rumah kerana perniagaan yang dibangunkan secara berperingkat berpotensi berkembang menjadi sumber pendapatan yang lebih stabil.

“Walaupun bermula secara kecil-kecilan dari rumah, usaha itu boleh membantu menambah pendapatan keluarga. Ada yang bermula dengan membuat kek di rumah sebelum berkembang menjadi usahawan yang mempunyai kilang sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada karnival berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, kemajuan teknologi turut membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk menjana pendapatan, termasuk melalui perniagaan dari rumah yang boleh dipromosikan menggunakan telefon pintar.

Menurutnya, kemudahan teknologi membolehkan golongan belia mendapatkan maklumat, mengenal pasti peluang perniagaan dan memilih bidang yang bersesuaian dengan kemahiran serta minat masing-masing.

“Kita tidak boleh mengharapkan peluang datang sendiri ketika duduk di rumah. Jadi, kita harus berusaha,” katanya sambil menggalakkan masyarakat merebut peluang yang disediakan menerusi pelbagai program bimbingan dan karnival kerjaya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai belia mendapatkan pekerjaan, membina perniagaan dan meningkatkan keupayaan menjana pendapatan sendiri.

Terdahulu, dalam teks ucapan Nizam yang dibacakan oleh Syed Ahmad, beliau memaklumkan kadar pengangguran Sabah berdasarkan Laporan Tenaga Buruh 2025 ialah 7.2 peratus.

Angka itu memperlihatkan kepentingan usaha berterusan untuk memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja di Sabah, selain menggalakkan masyarakat meneroka pilihan pendapatan yang lebih pelbagai. – Dakwat Rakyat Post