Positif alkohol ketika tunggang motosikal, lelaki 33 tahun ditahan di Tawau

Positif alkohol ketika tunggang motosikal, lelaki 33 tahun ditahan di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas didapati menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Motosikal di Batu 24, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu turut menyaksikan penahanan seorang lagi lelaki atas kesalahan lalu lintas serta penyitaan 14 kenderaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3.30 pagi itu dilaksanakan bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.

Menurutnya, lelaki yang menunggang di bawah pengaruh alkohol itu dikesan positif menerusi ujian EBA II dengan bacaan 58 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Seorang lagi lelaki turut ditahan bagi kesalahan mengikut Seksyen 42(1) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, sebanyak 14 kenderaan disita sepanjang operasi berkenaan, membabitkan 11 motosikal dan tiga motokar.

Dalam operasi sama, polis memeriksa 60 kenderaan yang terdiri daripada 30 motosikal, 13 motokar, lima kenderaan pacuan empat roda, dua lori, lima van atau bas, sebuah teksi dan empat kenderaan pelbagai guna (MPV).

Sebanyak 10 saman turut dikeluarkan, masing-masing tujuh kepada penunggang motosikal dan tiga kepada pengguna motokar.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan, menunggang motosikal ketika berusia bawah 17 tahun, tidak memakai tali pinggang keledar serta mengubah suai ekzos sehingga melanggar peraturan.

Polis turut mengesan kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Rosdi menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membendung kesalahan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang, khususnya perbuatan memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan lesen memandu sentiasa sah, mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengubah suai kenderaan sehingga melanggar undang-undang.

“Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat mempertaruhkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Sumber: Polis Daerah Tawau