Pergaduhan Di Padang Pekan Kunak Tular, 12 Remaja Berusia 10 Hingga 19 Tahun Ditahan

Pergaduhan Di Padang Pekan Kunak Tular, 12 Remaja Berusia 10 Hingga 19 Tahun Ditahan

Polis menahan 12 remaja lelaki berusia antara 10 hingga 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di Padang Pekan Kunak yang menjadi tular di media sosial pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Angong berkata, pihaknya mula mengesan penyebaran rakaman kejadian itu sekitar jam 8 malam sebelum siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

Rakaman kira-kira 45 saat yang tersebar menerusi Facebook dan WhatsApp itu menunjukkan beberapa lelaki terlibat dalam aksi tumbuk-menumbuk di kawasan awam, dipercayai berlaku di padang berkenaan pada petang Ahad.

Bertindak atas maklumat tersebut, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan operasi pengesanan sebelum membawa kesemua 12 remaja terbabit untuk membantu siasatan menerusi dua operasi berasingan.

Menurut Rejali, siasatan awal mengesahkan lokasi kejadian adalah di Padang Pekan Kunak.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi mengenai insiden berkenaan, bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu proses siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi atau tampil ke IPD Kunak untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan.