KUALA LUMPUR – Bagi rakyat Malaysia, Proton bukan sekadar nama pada sebuah kereta. Selama puluhan tahun, jenama ini menjadi sebahagian daripada pemandangan di jalan raya, daripada Saga yang pernah menjadi kereta keluarga hinggalah model-model baharu yang kita lihat hari ini.
Kini, nama Proton muncul pula di rak UNIQLO menerusi satu collab yang menggabungkan dunia automotif dengan seni ilustrasi. Beberapa model Proton daripada generasi berbeza diterjemahkan ke dalam rekaan untuk baju dan beg.
Di sebalik rekaan itu pula ada sentuhan kreatif seorang anak Malaysia, yang membawa setiap model Proton ke dalam gaya ilustrasi yang tersendiri.
Lima model, lima cerita

Koleksi UTme! PROTON yang mula ditawarkan pada 28 September 2026 menampilkan model-model Proton daripada era berbeza. Antaranya ialah Saga 1985, kereta yang membuka perjalanan Proton sebagai jenama automotif nasional.
Kemudian ada Satria Neo R3, yang membawa sisi prestasi dan kaitan Proton dengan dunia sukan permotoran. Dua model moden, S70 dan X50, turut diberi tempat, manakala e.MAS 7 pula mewakili era kereta elektrik. Koleksi ini turut menampilkan dua interpretasi S70, termasuk versi yang telah diubahsuai.

Tetapi yang menarik perhatian bukan semata-mata model yang dipilih. Setiap kereta diterjemahkan dengan gaya visual yang berbeza.
Saga generasi pertama, misalnya, bukan hanya dipaparkan sebagai sebuah kereta. Ilustrasinya dibina bersama suasana kedai era 80-an dan awal 90-an, lengkap dengan watak serta persekitaran yang memberikan konteks kepada zaman tersebut.
Satria Neo pula membawa elemen dunia rali dan prestasi, manakala model-model seperti S70, X50 dan e.MAS 7 diberikan pendekatan visual yang lebih moden. Di sinilah cerita seorang ilustrator Malaysia mula menjadi menarik.
Bermula dengan satu DM Instagram
Nama di sebalik ilustrasi tersebut ialah Syaiful Bahri, yang lebih dikenali sebagai O’matajari. Namun, peluang menghasilkan karya untuk UNIQLO dan Proton itu sebenarnya hampir terlepas begitu sahaja.
Menurut perkongsian Syaiful kepada Careta, pihak pemasaran UNIQLO pada awalnya menghubunginya melalui direct message (DM) di Instagram. Masalahnya, mesej tersebut tidak terus disedarinya.
Syaiful hanya membalas kira-kira lima hari kemudian. Pada ketika itu, jawapan yang diterimanya mungkin membuatkan beliau menyangka peluang tersebut sudah tertutup — pihak UNIQLO memaklumkan bahawa mereka telah mendapatkan artis lain untuk projek berkenaan.
Tetapi cerita itu rupanya belum berakhir. Kira-kira satu hingga dua minggu kemudian, UNIQLO kembali menghubunginya. Kali ini, tawaran untuk mengerjakan projek tersebut diberikan kepada Syaiful.
Daripada satu DM yang hampir terlepas, akhirnya beliau menjadi individu yang menghasilkan ilustrasi untuk koleksi Proton x UNIQLO yang kini berada di beberapa cawangan UNIQLO terpilih.
Bukan sekadar lukis semula kereta
Syaiful mempunyai latar belakang dalam Art & Advertising Design dan pernah bekerja sebagai pereka grafik sebelum mengembangkan kerjaya dalam bidang fotografi. Beliau menubuhkan syarikat fotografi sendiri pada 2005 sebelum kembali mendekati dunia lukisan beberapa tahun kemudian.
Apabila pandemik COVID-19 menjejaskan operasi fotografi pada 2020, Syaiful mula mempelajari teknik lukisan digital menggunakan tablet. Daripada situ, ilustrasi digital semakin menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.
Untuk projek Proton x UNIQLO ini pula, beliau tidak sekadar menerima gambar kereta dan menyalinnya ke atas kanvas digital. Menurut Syaiful, pihak UNIQLO dan Proton menetapkan model serta konsep utama yang diperlukan, tetapi beliau turut diberikan ruang untuk memasukkan idea dan kreativiti sendiri.
Itulah yang membuatkan setiap ilustrasi mempunyai karakter tersendiri. Bagi Saga 1985, misalnya, beliau membina suasana di sekeliling kereta itu. Satria Neo pula diterjemahkan dengan elemen yang lebih dekat dengan dunia rali dan prestasi.
Jadi, kereta yang sama boleh membawa cerita yang berbeza apabila diterjemahkan melalui perspektif seorang ilustrator.
Dari tablet ke kemeja
Menariknya, karya yang terhasil bukan lukisan manual yang kemudian diimbas. Menurut Syaiful, kesemua ilustrasi tersebut dihasilkan 100 peratus secara digital menggunakan tablet, walaupun hasil akhirnya masih mengekalkan karakter seperti lakaran tangan melalui penggunaan garisan dan warna.
Karya itu kemudiannya digunakan dalam koleksi UTme! PROTON, iaitu perkhidmatan cetakan tempahan UNIQLO. Pelanggan boleh memilih produk serta rekaan yang dikehendaki sebelum ia dicetak, dengan koleksi ini menawarkan kemeja-T dewasa pada RM79.90, kemeja-T kanak-kanak pada RM59.90 dan beg jinjing pada RM79.90.
Koleksi tersebut pula hanya ditawarkan di lima lokasi terpilih, iaitu The Exchange TRX, Fahrenheit88, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur serta Mid Valley Southkey di Johor.
Satu DM, lima Proton, satu karya anak Malaysia
Daripada Saga 1985 hingga e.MAS 7, koleksi ini memperlihatkan bagaimana model Proton daripada zaman yang berbeza boleh diterjemahkan ke dalam bahasa visual yang sama sekali berbeza daripada apa yang biasa dilihat di jalan raya.
Dan di tengah-tengah collab antara dua jenama besar itu, terdapat perjalanan seorang ilustrator Malaysia yang bermula daripada dunia reka grafik, beralih kepada fotografi, kembali kepada lukisan dan akhirnya menerima satu DM Instagram yang hampir tidak sempat dibalas.
Kalau Syaiful tidak membuka mesej itu, atau sekiranya UNIQLO tidak kembali menghubunginya beberapa minggu kemudian, mungkin karya-karya yang kini terpampang pada koleksi Proton x UNIQLO itu akan mempunyai nama yang berbeza.
Namun kali ini, peluang itu jatuh kepada seorang anak Malaysia dan hasilnya kini boleh dipakai, bukan sekadar dilihat.
Sumber : Careta