GERIK – Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan bersama beberapa orang staf di Gerik, Perak, pada Jumaat.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan melalui akaun Facebook Ustaz Wadi Annuar, yang turut memohon orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terlibat.

“Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar kini berada dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan ringan,” menurut makluman berkenaan.
Dalam kenyataan sama, pihak beliau memohon jasa baik orang ramai supaya memberi ruang kepadanya untuk berehat selepas kejadian tersebut.
Buat sementara waktu, beliau juga belum menerima kunjungan ziarah.
Pihak beliau turut merakamkan penghargaan atas doa dan keprihatinan orang ramai serta berharap agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan dan mempermudah segala urusan beliau serta semua yang terlibat.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan serta mempermudah segala urusan beliau dan semua yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diminta terus mendoakan kesejahteraan Ustaz Wadi Annuar dan semua individu yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.