BELURAN: Seorang guru wanita maut, manakala tujuh lagi individu termasuk tiga pelajar perempuan cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Pamol-Sapi Nangoh, di sini, tengah hari semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ustazah Nurafya, 25, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai, Beluran.
Difahamkan, mangsa memandu sebuah Perodua Aruz yang membawa tiga pelajar perempuan dari sekolah berkenaan dan dipercayai dalam perjalanan ke Beluran bagi menghadiri satu perkhemahan sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan ringan, manakala empat individu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari.
Menurutnya, lokasi kemalangan terletak kira-kira 104 kilometer dari balai bomba, namun tiada operasi menyelamat dilakukan kerana semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.
“Ketika anggota bomba tiba, guru wanita itu cedera parah, manakala tiga lagi pelajar cedera ringan. Semua dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.
“Empat lagi mangsa dalam kereta pacuan empat roda cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan,” katanya.
Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang selepas pemantauan mendapati keadaan di lokasi kejadian selamat dan terkawal.
Identiti empat individu yang menaiki Toyota Hilux itu belum diperoleh setakat ini.