TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) komited untuk memperkukuh kerjasama bagi memperluas pelaksanaan program khatam al-Quran di sekolah sebagai usaha memupuk generasi muda yang bukan sahaja mencintai, malah menghayati kandungan kitab suci itu.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pembudayaan al-Quran dalam kalangan murid perlu dilakukan secara berterusan melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa.
Menurutnya, usaha itu penting supaya amalan membaca dan memahami al-Quran dapat diterapkan dalam kehidupan seharian anak-anak, sekali gus membantu membentuk keperibadian serta kekuatan rohani mereka.

“Kita akan sentiasa mendukung dan menyokong apa juga usaha yang boleh memberikan manfaat kepada generasi muda di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Perdana Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam menyifatkan penganjuran majlis yang menghimpunkan lebih 1,000 murid Tahun Enam daripada 61 sekolah kebangsaan di daerah ini sebagai satu inisiatif positif dalam meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran.
Katanya, program itu difahamkan merupakan penganjuran pertama seumpamanya di peringkat negeri Sabah, berikutan sebelum ini majlis khatam al-Quran biasanya diadakan secara berasingan oleh setiap sekolah.
Beliau berkata, pendekatan secara berpusat itu memberi ruang kepada murid daripada pelbagai sekolah untuk bersama-sama menyertai majlis berkenaan, selain menyuntik semangat mereka agar terus mendekati dan membaca al-Quran.
Menurutnya, tema program, ‘Mahabatul Quran Fi Qalbi’ yang membawa maksud kecintaan terhadap al-Quran sentiasa terpahat dalam hati, turut mengingatkan masyarakat mengenai pentingnya menjadikan kitab suci itu sebagai sebahagian daripada kehidupan.
“Anak-anak perlu dididik mencintai al-Quran sejak usia muda supaya mereka sentiasa mendampinginya dan menjadikan ajarannya sebagai panduan kehidupan.
“Saya yakin apabila generasi muda sentiasa dekat dengan al-Quran, kehidupan mereka akan lebih terpelihara daripada gejala tidak sihat, selain membentuk keyakinan diri untuk terus berjaya dalam pendidikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nizam mencadangkan supaya aktiviti membaca al-Quran turut melibatkan guru serta seluruh warga sekolah menerusi pelaksanaan sesi bacaan selama 15 minit pada setiap Jumaat.
Katanya, amalan itu boleh dijadikan aktiviti berkala dan dilaksanakan secara konsisten sebelum diteruskan dengan penganjuran Majlis Khatam al-Quran Perdana pada tahun berikutnya.
Beliau turut berkata, usaha melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta menjadikan nilai agama sebagai pegangan hidup memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak, terutama ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga.
“Galakan dan kepimpinan guru, warga sekolah serta ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak dibimbing mengamalkan nilai agama, termasuk menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan membaca al-Quran.
“Apabila amalan kerohanian ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, kita berharap dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan mampu menjadi pemimpin yang menyumbang kepada kesejahteraan negeri serta negara pada masa depan,” katanya.