Bekas Komander ESSCOM Terajui PDRM Sabah, Victor Sanjos Ambil Alih Tugas

Bekas Komander ESSCOM Terajui PDRM Sabah, Victor Sanjos Ambil Alih Tugas

KOTA KINABALU – Datuk Victor Sanjos secara rasmi memulakan tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu selepas mengambil alih tanggungjawab kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah daripada Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat.

Pertukaran kepimpinan itu dimeterai menerusi majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas yang berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, petang ini.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.

Sebelum pelantikan itu, Victor berkhidmat sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), jawatan yang turut memberikan pengalaman dalam aspek keselamatan, khususnya di kawasan pantai timur negeri ini.

Penyerahan tanggungjawab kepada beliau menandakan bermulanya fasa kepimpinan baharu PDRM Sabah, dengan kesinambungan usaha memperkukuh keselamatan, membanteras jenayah dan memastikan ketenteraman awam terus menjadi keutamaan.

Acara serah terima tugas disempurnakan menerusi pemeteraian dokumen rasmi, penyerahan dokumen secara simbolik serta penyerahan tongkat kuasa daripada Jauteh kepada Victor sebagai lambang peralihan amanah kepimpinan pasukan polis negeri.

Bagi Jauteh, majlis berkenaan menjadi penutup perjalanan kerjayanya dalam pasukan keselamatan negara selepas lebih tiga dekad mencurahkan khidmat bakti.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau memainkan peranan dalam memperkukuh keselamatan negeri, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta mempererat hubungan antara pihak polis dengan masyarakat.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran kepimpinan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah apabila Datin Nurhayatie Farhana Abdullah menyerahkan tugas Pengerusi PERKEP kepada Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie, masing-masing isteri kepada Jauteh dan Victor.

Acara berkenaan disaksikan isteri Timbalan Ketua Polis Negara, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim yang juga Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan perbarisan khas sebagai tanda penghormatan terhadap kepimpinan terdahulu selain menyambut pelantikan peneraju baharu PDRM Kontinjen Sabah.

Peralihan kepimpinan itu sekali gus membuka lembaran baharu buat PDRM Sabah dalam meneruskan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.