Ada masa terluang minggu ini? Hospital Tawau buka Kempen Derma Darah di pelbagai lokasi

Ada masa terluang minggu ini? Hospital Tawau buka Kempen Derma Darah di pelbagai lokasi

TAWAU – Orang ramai yang mempunyai kelapangan minggu ini dipelawa menyertai Kempen Derma Darah 2026 anjuran Unit Perubatan Transfusi Hospital Tawau yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar daerah ini sehingga 15 November.

Kempen tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pendermaan darah selain membantu memastikan bekalan darah di Hospital Tawau sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan transfusi darah.

derma darah

Sumber : Tabung Darah Hospital Tawau

Berdasarkan jadual yang dikongsikan Hospital Tawau, kempen berkenaan berlangsung selama tujuh hari bermula 9 November dengan lokasi berbeza mengikut tarikh.

Pada Selasa, 10 November, orang ramai boleh menderma darah di Tabung Darah Hospital Tawau dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Pada Rabu, 11 November, selain Tabung Darah Hospital Tawau yang beroperasi pada waktu sama, kempen turut dibuka di Lobi Blok C Hospital Tawau dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

Seterusnya, pada Khamis, 12 November, kempen berlangsung di Tabung Darah Hospital Tawau dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang serta di Lobi Wisma Persekutuan Tawau dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Bagi Jumaat, 13 November, perkhidmatan pendermaan darah diteruskan di Tabung Darah Hospital Tawau dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Kempen kemudian bergerak ke kawasan luar bandar pada hujung minggu, iaitu di Pejabat Ladang Bergosong, Pulau Sebatik pada Sabtu, 14 November, bermula jam 8 pagi sehingga selesai.

Pada Ahad, 15 November, kempen diteruskan di Klinik Ladang Merotai, SD Guthrie Ladang Merotai, juga bermula jam 8 pagi sehingga selesai.

Hospital Tawau turut memaklumkan bahawa waktu yang tertera dalam jadual merupakan masa terakhir pendaftaran dan kaunter dibuka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Tabung Darah Hospital Tawau menerusi talian 089-983533 sambungan 8309.

Masyarakat yang berkelapangan dan memenuhi syarat pendermaan darah digalakkan mengambil peluang menyertai kempen ini sebagai salah satu sumbangan kepada pesakit yang memerlukan bekalan darah.