Kejohanan Bola Keranjang B-15 Kali Ke-32 Jadi Medan Pemilihan Wakil Sabah ke Negeri Sembilan

Kejohanan Bola Keranjang B-15 Kali Ke-32 Jadi Medan Pemilihan Wakil Sabah ke Negeri Sembilan

TAWAU – Kejohanan Bola Keranjang Bawah 15 Tahun (B-15) kali ke-32 bagi tahun 2026 yang berlangsung di Tawau menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu, selain memilih pemain lelaki dan wanita bagi mewakili Sabah ke kejohanan peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan, penghujung Disember ini.

Menteri Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran kejohanan itu mencerminkan usaha berterusan persatuan sukan dalam melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat di negeri ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Keranjang Sabah dan Persatuan Bola Keranjang Tawau atas kejayaan menganjurkan kejohanan berkenaan yang sudah memasuki edisi ke-32 tahun ini.

Menurutnya, kedua-dua persatuan berkenaan menunjukkan komitmen aktif dalam menganjurkan pertandingan bola keranjang peringkat umur, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing.

Katanya, kejohanan seperti itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi ruang mengenal pasti bakat yang berpotensi diketengahkan untuk membawa nama Sabah ke peringkat lebih tinggi.

“Saya difahamkan kejohanan B-15 yang dianjurkan di Tawau ini adalah bagi pemilihan pasukan lelaki dan wanita untuk mewakili Sabah ke kejohanan di Negeri Sembilan pada penghujung Disember nanti,” katanya.

Nizam berharap pemain yang terpilih dapat memberikan komitmen tinggi dalam latihan serta mengikuti segala tunjuk ajar jurulatih bagi memastikan mereka bersedia menghadapi saingan tersebut.

Beliau turut berharap sokongan dan dorongan daripada persatuan bola keranjang akan menjadi motivasi kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik serta berusaha membawa pulang kejayaan buat Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kementeriannya sentiasa menyokong program dan pertandingan yang dianjurkan persatuan sukan di negeri ini, termasuk usaha Persatuan Bola Keranjang Sabah dan Persatuan Bola Keranjang Tawau dalam membangunkan sukan berkenaan.

Menurutnya, lebih banyak kejohanan perlu dianjurkan bagi memberi peluang kepada golongan muda menceburi sukan bola keranjang, selain meningkatkan tahap persaingan dan pengalaman pemain melalui penyertaan dalam pertandingan.

Nizam turut menghargai pemilihan Tawau sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan, yang disifatkan sebagai peluang baik untuk mendekatkan masyarakat setempat dengan sukan bola keranjang.

Katanya, penganjuran kejohanan peringkat negeri di Tawau, termasuk dua kejohanan yang berlangsung di daerah itu pada tahun ini, mampu meningkatkan minat penduduk khususnya golongan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan tersebut.

Beliau berharap lebih ramai pemain muda di Tawau tampil menyertai aktiviti bola keranjang dan mengambil peluang daripada penganjuran pertandingan seumpama itu untuk mengembangkan bakat masing-masing.

Tambahnya, usaha berterusan persatuan sukan dengan sokongan kementerian dan masyarakat amat penting dalam membina pembangunan sukan yang lebih kukuh, sekali gus menjadikan Sabah antara negeri yang berpotensi dalam sukan bola keranjang negara.

Kejohanan B-15 kali ke-32 itu diharap bukan sahaja melahirkan pemain yang mampu mewakili Sabah, tetapi turut menjadi titik permulaan kepada perjalanan lebih ramai atlet muda untuk mencipta nama dalam arena bola keranjang.