JHEAINS tahan 12 individu berpakaian menyerupai wanita dalam Operasi di Semporna

JHEAINS tahan 12 individu berpakaian menyerupai wanita dalam Operasi di Semporna

SEMPORNA – Seramai 12 individu ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama polis di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, Semporna, awal pagi 20 November.

Operasi yang bermula pada jam 11 malam, 19 November, itu berakhir kira-kira jam 3 pagi, dengan pemeriksaan dan tindakan terhadap individu yang terlibat dalam satu pertandingan, menurut kenyataan Pejabat JHEAINS Semporna.

jheains jheains

Foto : JHEAINS Semporna

Operasi bersepadu itu diketuai Pegawai JHEAINS, Mohd Juseph Bin Ahmad Kapala, bersama lima pegawai JHEAINS dan 11 anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum, Semporna.

Dalam operasi berkenaan, 12 individu ditangkap selepas didapati berpakaian menyerupai wanita ketika terlibat dalam pertandingan tersebut.

Selain tangkapan, pihak operasi turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan pertandingan berkenaan, termasuk piala, sijil, hamper serta beberapa barangan lain.

JHEAINS memaklumkan operasi itu dilaksanakan melalui kerjasama pihaknya dengan polis bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak memperincikan nama pertandingan, peruntukan undang-undang yang digunakan, mahupun tindakan lanjut terhadap 12 individu yang ditahan.

Sumber : JHEAINS Semporna