Ramai pengguna jalan raya di Sabah mungkin tidak mengetahui bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menyediakan aplikasi khas dikenali sebagai Sabah Public Road Map yang membolehkan orang awam meneroka rangkaian jalan raya di seluruh negeri menerusi peta digital.
Aplikasi tersebut memaparkan rangkaian jalan raya Sabah menggunakan lima kod warna berbeza bagi membezakan kategori jalan, sekaligus membolehkan pengguna mengenal pasti jenis jalan serta mendapatkan maklumat berkaitan laluan yang dipilih.
Antara maklumat yang boleh diakses termasuk nama jalan, daerah, pihak yang menyelenggara jalan (Maintained By) serta panjang jalan berdasarkan sistem maklumat geografi (GIS Length) dalam unit meter.
Lima kod warna bezakan kategori jalan


Menariknya, setiap kategori jalan dalam aplikasi itu ditandakan menggunakan warna tertentu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti jenis rangkaian jalan yang dipaparkan.
Lima kategori berkenaan ialah:
- Hitam – Federal Road: Menunjukkan rangkaian Jalan Persekutuan.
- Biru – State Sealed Road: Menunjukkan Jalan Negeri yang mempunyai permukaan berturap.
- Hijau – MCDC: Merujuk kepada kategori jalan di bawah Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah (Municipal and District Councils).
- Kuning – State Gravel Road: Menunjukkan Jalan Negeri jenis gravel atau batu kelikir.
- Merah – Road Upgrading Project: Menunjukkan laluan yang dikategorikan sebagai projek menaik taraf jalan.
Paparan menggunakan warna berbeza itu memberikan gambaran lebih jelas mengenai kepelbagaian kategori rangkaian jalan raya yang terdapat di Sabah.
Maklumat jalan di Tawau turut boleh disemak
Bagi pengguna di Tawau, aplikasi ini turut membolehkan maklumat beberapa laluan di daerah berkenaan diterokai dengan lebih terperinci.
Sebagai contoh, Jalan Kuhara dipaparkan di bawah kategori State’s Sealed Road dengan panjang GIS sebanyak 7,023 meter, manakala maklumat penyelenggara yang tertera ialah Globinaco.
Selain itu, Jalan Sandakan Tawau turut disenaraikan sebagai Federal Road dengan Lintasan Resources Sdn Bhd dipaparkan sebagai pihak penyelenggara.
Bagi kategori Road Upgrading Project, Jalan Utara Baru di Tawau pula direkodkan mempunyai panjang GIS sebanyak 5,420 meter.
Aplikasi itu turut memaparkan contoh jalan di bawah kategori MCDC seperti Lorong Meteor 1 sepanjang 125 meter dan Jalan Veterinar JPHPT sepanjang 621 meter, dengan PKM disenaraikan sebagai pihak penyelenggara bagi kedua-dua laluan tersebut.
Sementara itu, Jalan Tiku Table yang dikategorikan sebagai State’s Gravel Road direkodkan mempunyai panjang GIS sebanyak 11,391 meter dengan YTO Group dipaparkan sebagai pihak penyelenggara.
Boleh kenal pasti pihak penyelenggara jalan
Satu lagi fungsi yang berguna ialah paparan maklumat Maintained By apabila pengguna memilih sesuatu laluan pada peta.
Maklumat ini membolehkan pengguna mengetahui pihak yang disenaraikan sebagai penyelenggara bagi jalan berkenaan, selain mengenal pasti nama jalan dan daerah lokasinya.
Pengguna juga boleh menggunakan fungsi carian Find Road Name untuk mencari nama jalan yang ingin diketahui melalui aplikasi tersebut.
Dengan liputan peta yang merangkumi seluruh Sabah, kemudahan ini berpotensi menjadi rujukan tambahan kepada penduduk, khususnya mereka yang ingin mendapatkan maklumat asas mengenai rangkaian jalan raya di daerah masing-masing.