KOTA MARUDU: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang kesimpulan atau mengaitkan kejadian bumbung runtuh di Goshen, di sini, dengan dakwaan kecuaian atau salah guna kuasa sebelum siasatan teknikal selesai dijalankan.
Kenyataan berhubung kejadian itu menegaskan bahawa bangunan terbabit masih dalam proses pembinaan, belum siap sepenuhnya, belum diserahkan dan belum mendapat kelulusan untuk digunakan.
Sehubungan itu, sebarang dakwaan yang mengaitkan insiden berkenaan dengan penyalahgunaan kuasa dalam penggunaan bangunan disifatkan sebagai terlalu awal memandangkan struktur tersebut belum beroperasi.

Menurut kenyataan itu, struktur bangunan yang masih dalam pembinaan mempunyai tahap kestabilan berbeza berbanding bangunan yang telah siap, khususnya apabila sistem sokongan sementara, komponen pengukuhan dan sambungan kekal belum dilengkapkan sepenuhnya.
Keadaan berkenaan dikatakan boleh menyebabkan struktur yang belum siap lebih terdedah kepada kesan angin kencang, sekali gus memerlukan penelitian teknikal bagi mengenal pasti faktor sebenar kejadian.
Sebagai perbandingan, kenyataan itu turut merujuk beberapa insiden di luar negara, termasuk kejadian keruntuhan struktur formwork di Singapura pada 2016 yang dikaitkan dengan angin kencang serta keruntuhan sebuah bangunan kondominium dalam pembinaan di Raleigh, Amerika Syarikat.
Kenyataan berkenaan turut menyebut insiden Jambatan Tacoma Narrows di Amerika Syarikat sebagai contoh bagaimana struktur kejuruteraan boleh mengalami kegagalan akibat faktor berkaitan angin.
Bagaimanapun, contoh kejadian luar negara itu tidak boleh dijadikan bukti bahawa angin kencang menjadi punca keruntuhan bumbung di Goshen.

Sebaliknya, punca sebenar insiden berkenaan perlu ditentukan menerusi siasatan menyeluruh oleh jurutera bertauliah dan pihak berkuasa berkaitan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang kemungkinan kecuaian perlu ditangani berdasarkan hasil siasatan, manakala sekiranya kejadian berpunca daripada faktor bencana alam, kerja-kerja pembaikan boleh dilaksanakan sewajarnya.
Orang ramai turut diseru supaya memberi ruang kepada pihak berkenaan menjalankan pemeriksaan dan menunggu laporan rasmi sebelum membuat sebarang tuduhan atau menyebarkan spekulasi berhubung insiden berkenaan.