Bekas pemain jadi mimpi ngeri The Rhinos, Mujagic ledak dua gol di Likas

Bekas pemain jadi mimpi ngeri The Rhinos, Mujagic ledak dua gol di Likas

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic, menjadi watak utama yang memusnahkan rentak positif The Rhinos apabila meledak dua gol untuk membantu Kuching City FC menewaskan tuan rumah 2-0 dalam aksi Liga Super 2026/2027 di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City membawa pulang tiga mata penuh dari Kota Kinabalu, manakala Sabah FC terpaksa menerima kekalahan pertama dalam kempen Liga Super musim ini.

Mujagic tidak mengambil masa lama untuk menghukum bekas pasukannya apabila membuka jaringan seawal minit kelima.

Penyerang itu sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-21 selepas Kuching City memanfaatkan kesilapan Sabah kehilangan penguasaan bola di luar kawasan penalti.

Kesilapan tersebut membuka ruang buat barisan serangan pelawat melakukan gerakan pantas sebelum Mujagic menyudahkan peluang untuk menggandakan kelebihan The Cats.

Menariknya, Mujagic bukan satu-satunya bekas pemain Sabah yang diturunkan Kuching City pada aksi Derby Borneo itu.

Dua lagi bekas pemain The Rhinos, Gabriel Peres dan Petrus Shitembi, turut berada dalam kesebelasan utama pasukan pelawat.

Shitembi memainkan peranan penting di bahagian tengah dengan membantu Kuching City mematahkan beberapa gerakan Sabah, manakala Peres pula tampil kemas mengemudi benteng pertahanan pelawat.

Sabah yang ketinggalan dua gol cuba bangkit dan memperkemaskan corak permainan, namun barisan serangan The Rhinos gagal memecahkan kekentalan pertahanan Kuching City sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sabah terus berusaha mencari gol untuk menghidupkan semula peluang, manakala Kuching City pula kekal berdisiplin dalam mengawal kelebihan.

Kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang sepanjang separuh masa kedua, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan.

Sabah turut melakukan beberapa perubahan dengan memasukkan Hanafie Tokyo Hasim, Muhd Farhan Roslan dan penjaga gol Damien Lim dalam usaha mengubah rentak permainan.

Bagaimanapun, segala usaha tuan rumah tidak membuahkan hasil apabila keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan permulaan sempurna Sabah dalam kempen Liga Super musim ini selepas The Rhinos sebelum ini mencatat kemenangan ke atas Star City dan Penang FC.

Sebaliknya, Kuching City meneruskan prestasi positif dalam liga selepas turut mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan Red Warriors pada aksi terdahulu.

Bagi Sabah, kekalahan di laman sendiri itu pastinya menjadi satu tamparan dalam usaha mengekalkan momentum awal musim, apatah lagi aksi tersebut berlangsung di hadapan penyokong sendiri yang sebelum perlawanan diharapkan menjadi ‘pemain ke-12’ pasukan.

Namun, tumpuan utama malam ini tetap terarah kepada Mujagic – pemain yang pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Sabah FC – apabila dua golnya bukan sahaja menghadiahkan kemenangan buat Kuching City, malah menjadikan Derby Borneo di Likas satu malam yang sukar dilupakan buat The Rhinos.