Penduduk Pulau Gaya berdepan Notis Pengosongan 14 Hari, ADUN hantar surat rasmi kepada DBKK mohon tempoh lebih munasabah

Penduduk Pulau Gaya berdepan Notis Pengosongan 14 Hari, ADUN hantar surat rasmi kepada DBKK mohon tempoh lebih munasabah

KOTA KINABALU – Penduduk di Pulau Gaya berdepan arahan pengosongan pondok dalam tempoh 14 hari menerusi notis yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertarikh 16 November 2026, sekaligus mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.22 Tanjung Aru, Datuk Wong Hong Sun, mengemukakan permohonan rasmi supaya tempoh perpindahan diberikan secara lebih munasabah.

Permohonan itu dikemukakan menerusi surat kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Haji Sabin bin Samitah, pada 16 November 2026 bagi mendapatkan pertimbangan dan penjelasan berhubung notis pengosongan, perobohan dan pengalihan pondok di Pulau Gaya.

Menurut surat berkenaan, notis DBKK mengarahkan tapak dikosongkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan, iaitu sehingga 30 November 2026.

pulau gaya

Sumber : Facebook Pejabat ADUN N.22 Tanjung Aru

Tempoh 14 hari dikhuatiri menyukarkan keluarga

Datuk Wong memohon supaya DBKK memberikan tempoh yang lebih munasabah bagi membolehkan penduduk mencari rumah atau tempat tinggal gantian yang sesuai serta menguruskan pelbagai urusan berkaitan perpindahan.

Beliau menyifatkan tempoh 14 hari sebagai terlalu singkat, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah kerana perpindahan dalam keadaan tergesa-gesa boleh menjejaskan persekolahan serta persediaan menghadapi peperiksaan.

Beliau turut membangkitkan keadaan penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan, termasuk keluarga yang mempunyai warga emas dan kanak-kanak.

Menurutnya, kehilangan tempat tinggal dalam tempoh singkat tanpa penempatan gantian boleh menimbulkan kesukaran serta tekanan kepada keluarga yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau berharap DBKK dapat mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam melaksanakan perkara berkenaan.

Minta penjelasan mengenai penempatan semula penduduk

Selain memohon penangguhan, Datuk Wong turut meminta penjelasan sama ada DBKK mempunyai perancangan menyediakan tapak penempatan semula atau bantuan lain kepada penduduk Pondoh yang terlibat.

Beliau turut merujuk pengalaman penempatan semula penduduk Pondoh ke Telipok yang pernah dilaksanakan ketika zaman pentadbiran Tan Sri Musa Aman.

Justeru, beliau berharap pendekatan yang serupa dapat dipertimbangkan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan arahan pengosongan tersebut.

Perkara itu turut menjadi antara kebimbangan utama yang dibangkitkan kerana penduduk memerlukan kepastian mengenai tempat tinggal gantian sekiranya perpindahan perlu dilaksanakan.

Status tanah perkuburan Islam turut diminta diperjelaskan

Dalam surat sama, Datuk Wong turut meminta DBKK memberikan penjelasan mengenai kedudukan tanah perkuburan Islam di Pulau Gaya, khususnya sama ada kawasan berkenaan akan dikekalkan atau terjejas akibat kerja perobohan dan pengalihan yang dirancang.

Beliau turut meminta maklumat mengenai status pewartaan serta pemilikan tanah perkuburan berkenaan, selain jaminan akses kepada waris untuk menziarahi dan menyelenggarakan kawasan perkuburan tersebut.

Sekiranya pemindahan perlu dilakukan, beliau turut meminta DBKK menjelaskan pelan tindakan berkaitan perkara itu.

Harap DBKK pertimbangkan kebajikan penduduk

Datuk Wong dalam kenyataan Pejabat ADUN N.22 Tanjung Aru menegaskan bahawa setiap pembangunan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan mengikut peraturan, namun kebajikan, hak serta kepentingan penduduk setempat tidak seharusnya diketepikan.

Menurutnya, pembangunan perlu mengambil kira nilai kemanusiaan supaya nasib dan kebajikan penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan tidak terabai.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengatur sesi perbincangan bersama wakil penduduk bagi menjelaskan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Pejabat ADUN N.22 Tanjung Aru berharap DBKK dapat memberikan maklum balas serta mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan, khususnya berkaitan tempoh perpindahan, penempatan semula dan status tanah perkuburan Islam di Pulau Gaya.