TAWAU: Pengguna jalan raya di sekitar Tawau disaran mengambil perhatian terhadap penganjuran Tawau Half Marathon (THM) 2026 yang bakal menyaksikan peserta bagi kategori 21 kilometer (21KM) dan 5 kilometer (5KM) memulakan larian dari Institute of Science and Management (ISM) Tawau pada 13 Disember 2026 ini.
Acara yang berlangsung seawal pagi itu dijangka melibatkan pergerakan peserta di laluan jalan raya, sekali gus memerlukan perhatian pengguna kenderaan yang melalui kawasan berkenaan sepanjang tempoh larian.
Menerusi maklumat laluan rasmi yang dikongsikan penganjur, kategori 21KM Fun Hill dijadualkan memulakan larian pada jam 5.15 pagi dengan had masa keseluruhan atau Cut-Off Time (COT) selama 4 jam 30 minit, iaitu sehingga jam 9.45 pagi.

Peserta kategori berkenaan turut diwajibkan melepasi pusat pemeriksaan pertama (CP1) di Kilometer 12.5 sebelum jam 7.30 pagi.
Sementara itu, kategori 5KM Fun Run akan memulakan larian pada jam 6 pagi dengan had masa keseluruhan selama satu jam 30 minit, sehingga jam 7.30 pagi.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya di sekitar laluan acara disaran merancang perjalanan lebih awal serta meningkatkan kewaspadaan ketika memandu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pemandu juga diminta memberi perhatian kepada kehadiran peserta larian, mematuhi arahan petugas serta mengikuti sebarang papan tanda atau arahan pengurusan trafik yang disediakan sepanjang acara.
Dalam pada itu, penganjur menggalakkan peserta supaya meneliti peta laluan rasmi bagi mengenal pasti kedudukan stesen air, tandas dan pusat pemeriksaan sebelum memulakan larian.
Peserta turut diingatkan supaya mematuhi arahan petugas sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan acara.
Bagi peserta 21KM beragama Islam, mereka digalakkan mengambil wuduk dari rumah dan hadir lebih awal ke lokasi acara untuk menunaikan solat Subuh sebelum pelepasan. Waktu Subuh dimaklumkan masuk pada jam 4.53 pagi.
Dengan pelepasan peserta seawal jam 5.15 pagi, kerjasama semua pihak termasuk peserta, pengguna jalan raya dan petugas amat penting bagi memastikan Tawau Half Marathon (THM) 2026 berlangsung dengan lancar serta selamat.
Orang ramai juga disaran mengikuti pengumuman rasmi penganjur berhubung sebarang perubahan laluan, kawalan trafik atau penutupan jalan melalui laman rasmi Facebook mereka di Tawau Marathon.