Rumah Lestari Tawau Jadi Model Pertama Sabah, Arifin Mahu PBT Lain Turut Contohi

Rumah Lestari Tawau Jadi Model Pertama Sabah, Arifin Mahu PBT Lain Turut Contohi

TAWAU: Inisiatif Rumah Lestari yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berpotensi menjadi model kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Sabah dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata program berkenaan merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Sabah dan wajar diperluaskan kerana memberi manfaat kepada komuniti serta masyarakat setempat.

Beliau turut memuji usaha MPT menjayakan program itu yang disifatkan sebagai pendekatan kreatif dalam menerapkan nilai kelestarian alam sekitar secara santai, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih mesra alam.

Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja penting untuk memelihara alam sekitar, malah memberi kesan positif terhadap kesejahteraan dan kesihatan masyarakat.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada MPT kerana dapat mengusahakan program yang sangat bermanfaat ini.

“Rumah Lestari merupakan program pertama di Sabah dan sangat bermanfaat kepada komuniti. Saya fikir ia juga boleh dijadikan contoh oleh kawasan-kawasan lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan program berkenaan yang turut mendapat bimbingan, panduan serta peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia di Putrajaya, selain sokongan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Arifin berkata, kewujudan Rumah Lestari juga penting sebagai pusat pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak, mengenai kepentingan menjaga alam sekitar sejak usia muda.

Katanya, pendidikan merupakan asas utama dalam membentuk kesedaran dan kecintaan terhadap alam sekitar, justeru beliau berharap lebih ramai pelajar daripada sekolah sekitar dan daerah lain berkunjung ke pusat berkenaan untuk melihat sendiri aktiviti serta program yang dilaksanakan.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan Rakan Lestari yang digerakkan menerusi pihak berkuasa tempatan sebagai usaha memperluas penglibatan komuniti dalam agenda kelestarian.

Mengulas potensi peluasan program itu ke daerah lain, Arifin berkata perkara berkenaan antara usaha yang akan diteruskan, selain berharap PBT lain menjadikan MPT sebagai contoh dalam membangunkan inisiatif seumpamanya.

PENAMBAHBAIKAN KEMUDAHAN BANDAR SELAMAT

Dalam perkembangan lain, Arifin berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan menambah baik kemudahan asas di kawasan bandar dan pekan, termasuk sistem pencahayaan bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan orang ramai.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan bersama Presiden MPT serta ketua-ketua PBT lain susulan keperluan memperkukuh kemudahan awam di kawasan masing-masing.

Menurutnya, proses penambahbaikan sedang diusahakan melalui kementerian, termasuk perbincangan bersama setiausaha tetap kementerian dan PBT berkaitan.

Beliau berkata, satu perhimpunan bersama ketua daerah, pengerusi majlis perbandaran serta pegawai eksekutif dijadualkan berlangsung pada minggu ini bagi menyampaikan hala tuju dan amanat berkaitan keutamaan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya akan memberikan amanat dan antara perkara yang akan ditekankan ialah kita perlu sentiasa bersedia mendengar serta memberikan perkhidmatan sebaik mungkin terhadap perkara yang diperlukan rakyat.

“Termasuklah kemudahan pencahayaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepentingan masyarakat,” katanya.