Festival Makanan Lonjak Semangat Usahawan Muda

TAWAU – Golongan anak muda di Tawau menunjukkan penyertaan yang amat memberangsangkan dalam dunia keusahawanan menerusi Havoc Food Festival Borneo Tour, sebuah program yang dianjurkan oleh Havoc Event and Management Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan pihak swasta.

Program yang berlangsung meriah di Tawau itu berjaya mengumpulkan 120 vendor usahawan makanan dan minuman dari seluruh negara. Penyertaan turut terlibat daripada usahawan dari Sabah sendiri. Festival ini bukan sahaja menjadi tumpuan ramai, malah mendapat sambutan luar biasa daripada warga tempatan. Mereka tidak melepaskan peluang untuk merasai pelbagai hidangan menarik dari pelbagai negeri.

Datuk Nizam singgah melawat kepada usahawan muda yang menjalankan perniagaan

Menurut YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, kehadiran dan penyertaan anak muda dalam program ini memberi petanda positif kepada masa depan industri keusahawanan di Sabah, khususnya dalam bidang makanan dan minuman.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga Tawau kerana memberikan sambutan yang begitu ‘havoc’ kepada Havoc Food Festival Borneo Tour. Saya difahamkan penganjuran ini bukan sahaja menghimpunkan vendor dari Semenanjung tetapi juga dari Sabah sendiri. Ia menjadi satu platform yang cukup baik kepada golongan muda untuk memulakan langkah mereka dalam dunia keusahawanan,” katanya.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Lebih menarik, beliau turut menekankan bahawa semangat pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha juga dapat diterapkan dalam dunia perniagaan. Di mana kesabaran, ketekunan dan keazaman merupakan asas kepada kejayaan seorang usahawan.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa program seperti Havoc Food Festival akan menarik lebih ramai pelancong. Seterusnya memberi impak positif kepada sektor ekonomi sokongan seperti pelancongan dan peruncitan.

“Sekiranya mereka mengambil iktibar daripada usaha penganjur dan melihat potensi sebenar dalam bidang ini, saya yakin lebih ramai usahawan Bumiputera akan dilahirkan, bukan hanya berniaga di daerah, tetapi mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” tambahnya.

Dengan kejayaan penganjuran di Tawau, YB Datuk Nizam berharap program seumpama ini akan terus diadakan secara berkala. Hal ini bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak muda, sekali gus membina komuniti usahawan yang mampan dan berdaya saing di Sabah.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *