26 Tahun Mengabdi, Terjunan Terakhir Jadi Hadiah Untuk Tawau – Hedar Darwis

TAWAU – “Hari ini adalah terjunan terakhir saya di bumi Tawau yang tercinta.” Itulah luahan penuh emosi dan makna dari 721854 PW U I Hedar bin Darwis. Seorang anak jati Kampung Tanjung Batu Keramat, yang kini sedang mengakhiri fasa penting dalam hidupnya sebagai anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU), setelah 26 tahun berkhidmat penuh dedikasi dan keberanian dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

hedar darwis
Hedar merakamkan kenangan di Bumi Kelahiran

“Perasaan saya ketika ini terlalu sukar untuk digambarkan,” ujar beliau dengan suara sebak. “Sedih, terharu, gembira—semuanya bercampur-baur. Seolah-olah karnival ini adalah satu penghargaan yang amat bermakna dari masyarakat Tawau buat diri saya. Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan kalian.”Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Tawaukini.

Turut dikongsikan oleh PW U I Hedar, beliau bakal memulakan latihan peralihan selama 18 bulan bermula 2 Julai ini. Latihan ini dilakukan sebelum menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 19 Februari 2027. Terjunan di langit Tawau hari ini menjadi simbol perpisahan manis, bukan hanya kepada tanah kelahirannya, tetapi kepada kerjaya tentera yang telah menjadi darah dagingnya sejak lebih dua dekad lalu.

“Sebagai anak jati Tawau, berada di sini, di kampung halaman sendiri, adalah satu penghormatan dan pengalaman yang sangat menyentuh jiwa. Sorakan warga Tawau yang tidak putus setiap kali kami membuat persembahan betul-betul membakar semangat kami. Warga Tawau memang luar biasa, memang awesome!”

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Hedar Darwis Zahir Penghargaan

Beliau turut menzahirkan penghargaan khas kepada isteri tercinta, Nurfainie Irdina binti Gani @ Daphne Gan Sue Fen, atas segala pengorbanan dan kesetiaan sepanjang beliau bertugas dalam pasukan khas. “Terima kasih kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan mendoakan keselamatan saya—saya amat menghargainya.”

Dalam masa yang sama, beliau juga menyampaikan penghormatan kepada rakan seperjuangan dari unit elit lain dalam ATM iaitu 11 Rejiman Gerak Khas, PASKAL – Pasukan Khas Laut,  Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan PARA – Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) yang turut bersama-sama memperkukuh kedaulatan negara dalam pelbagai medan dan misi.

Karnival CIMIC 2025 yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mengumpul lebih 15,000 pengunjung. Selain itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan terjun bebas oleh Pasukan Elit ATM, pameran aset ketenteraan, persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS), demonstrasi anjing perang dan banyak lagi. Ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada rakyat tentang peranan ATM, tetapi juga menjalin hubungan erat yang selari dengan tema “CIMIC Diperkasa, Kedaulatan Negara Terpelihara”.

hedar darwis
Hedar bersama dengan pasukan yang terlibat dalam CIMIC kali ini

PW U I Hedar bin Darwis kini meninggalkan legasi keberanian dan kecintaan kepada tanah air yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Tawau, khususnya mereka yang bercita-cita menyertai pasukan keselamatan negara.

“Terima kasih Tawau. Terima kasih semua. Salam hormat dari saya,” kata beliau mengakhiri bicara dengan penuh semangat dan kesyukuran.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *