FKAT Catat 3 Pengiktirafan Daripada Malaysia Book Of Records

TAWAU – Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sempena penganjurannya yang ke-10 tahun ini. Festival yang berlangsung meriah di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang mula diperkenalkan sejak tahun 2015 telah mencipta sejarah apabila berjaya berlangsung selama 10 tahun berturut-turut. Kejayaan ini sekaligus melayakkan festival ini diiktiraf sebagai Penganjuran Festival Melibatkan Kepelbagaian Etnik Paling Lama di Malaysia, dengan penyertaan pelbagai komuniti etnik yang menggambarkan kekayaan budaya unik masyarakat di Tawau dan sekitarnya.

Selain itu, festival ini turut mencatatkan pengiktirafan sebagai acara yang menampilkan Persembahan Tarian Etnik Terbanyak Dalam Satu Acara. Dalam edisi ke-10 pada tahun 2025, lebih daripada 30 persembahan tarian tradisional pelbagai etnik telah dipersembahkan secara langsung, melibatkan gabungan kumpulan seni dari pelbagai komuniti tempatan serta penyertaan antarabangsa dari Kazakhstan, Indonesia dan Filipina. Setiap persembahan yang dipersembahkan bukan sahaja memikat perhatian, tetapi turut memperkenalkan warisan budaya dunia di bumi Tawau.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Kemeriahan festival ini turut terserlah melalui penganjuran Perarakan Etnik Teramai Dalam Satu Acara yang dianggarkan disertai oleh lebih 1,000 peserta. Mereka tampil lengkap dengan busana tradisional masing-masing, mencetuskan suasana penuh warna-warni, harmoni dan perpaduan. Perarakan ini bukan sahaja menjadi simbol semangat kekitaan rakyat Sabah, tetapi turut memperlihatkan identiti Tawau sebagai sebuah daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan suku kaum, serta menjadi contoh terbaik konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Dalam ucapannya, Tun Musa Aman mendoakan majlis ini dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat semua. “Saya berdoa ke hadrat Allah swt, semoga majlis yang sangat meriah pada malam ini, dapat mengukuhkan perpaduan dan kesefahaman dalam kalangan kita semua”.

Festival ini dianjurkan sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGO budaya, institusi pendidikan dan komuniti tempatan. Presiden MPT, dalam kenyataannya, berkata bahawa pihaknya akan mengusulkan agar FKAT disenaraikan dalam kalender pelancongan tahunan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dengan kejayaan mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau kini berdiri megah bukan sahaja sebagai platform memperkasa budaya, malah sebagai ikon perpaduan dan identiti kebangsaan dari Sabah untuk dunia.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *