Pengguna luah keadaan jalan gelap di Tawau – “Sudah berapa tahun siap tapi tiada lampu”

jalan gelap

Seorang pengguna tampil meluahkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap keadaan jalan raya yang gelap tanpa lampu jalan di laluan selepas Lapangan Terbang Tawau yang baharu menuju ke kawasan checkpoint, sekali gus mengundang perhatian ramai pengguna media sosial.

Menurutnya, laluan tersebut telah siap dibina sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini masih tidak dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan yang sepatutnya, menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan lampu tinggi sepanjang perjalanan, terutamanya pada waktu malam.

“Mohon kepada pihak berwajib untuk selesaikan masalah lampu jalan selepas airport baharu menuju ke checkpoint. Jalan ini sudah berapa tahun siap tapi masih tiada lampu. Terpaksa guna lampu tinggi sepanjang perjalanan,” luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Jurucakap Ikatan Anak Muda Tawau – IKAT menggesa pihak berwajib seperti agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat benar-benar menyelesaikan isu yang berlaku kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Beliau turut mempersoal situasi apabila setiap kali kehadiran orang kenamaan atau VVIP ke Tawau, kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan secara pantas, namun keadaan kembali seperti sediakala sebaik sahaja lawatan berakhir.

“Bila ada vvip datang, atau tiba musim pilihanraya, kalau boleh semua tempat ada penyelenggaraan. Tapi bila vvip pulang, keadaan kembali seperti kebiasaan. Apa masalahnya? Infra ini untuk rakyat atau vvip?” ujarnya ketika dihubungi TawauKini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *