Mayat Lelaki Ditemui di Kedai Kosong Batu 15, Tawau

TAWAU – Satu mayat lelaki ditemui di dalam sebuah kedai kosong bersebelahan Carwash Era, Batu 15, Jalan Apas, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 11 pagi yang memaklumkan penemuan satu mayat di kawasan berkenaan.

mayat
lokasi mayat ditemui yang dikongsikan orang awam

Mayat Dipercayai Berusia Lingkungan 30-an

Susulan maklumat diterima, Pegawai Penyiasat bersama anggota Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) serta anggota detektif Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati, mayat berkenaan adalah seorang lelaki dikenali dengan nama panggilan Nordin, dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan merupakan seorang gelandangan.

Baca Juga : Tambahan Kuota Rumah SMJ Untuk Belia

Mangsa ditemui dalam keadaan meniarap dan berbantal, dipercayai sedang tidur ketika berada di dalam kedai kosong berkenaan. Pemeriksaan awal terhadap tubuh badan si mati tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau luka fizikal yang mencurigakan.

Menurut pihak polis, hasil pemeriksaan awal turut menganggarkan tempoh kematian adalah kira-kira satu minggu sebelum ditemui. Kematian mangsa telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tawau.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Pihak polis memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *